Oleh: Sholina Osman
6 SEPT. 2024
Majlis Menteri Wilayah Persekutuan yang bersidang kali ketiga memberi tumpuan untuk menyelesaikan isu kepadatan penduduk dan pembangunan di Kuala Lumpur.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, ini kerana kepadatan penduduk semakin meningkat serta kekangan kapasiti kemudahan awam, khususnya sekolah, yang berkemungkinan tidak mampu menampung pertambahan populasi Kuala Lumpur pada masa akan datang.
Beliau berkata, sebanyak 18 isu berbangkit dibincangkan pada mesyuarat kali ini dengan memberi fokus utama kepada kesejahteraan dan keharmonian penduduk di Kuala Lumpur.
MERANGKA GARIS PANDUAN
“Selaras dengan Pelan Struktur 2040 (PSKL 2040), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengadakan sesi Focus Group Discussion (FGD) pada 11 hingga 13 September 2024 yang bertujuan untuk merangka Garis Panduan Perancangan Kemudahan Masyarakat ke arah Pembangunan Berintegrasi dan Bersepadu di Kuala Lumpur, dengan penglibatan pelbagai agensi untuk mengemukakan isu dan cadangan yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan media.
Dr Zaliha berkata, garis panduan ini adalah penting untuk memastikan kemudahan awam seperti sekolah, klinik dan taman sentiasa sejajar dengan pembangunan serta pertambahan populasi di bandar raya ini.
Setelah selesainya garis panduan ini katanya, setiap pembangunan baru perlu mematuhi garis panduan yang lebih tegas dan bersepadu, tanpa mengenepikan kepentingan dan keperluan penduduk setempat.
“Dalam mesyuarat tersebut juga, isu peruntukan DBKL kepada Ahli Parlimen untuk projek-projek kecil bagi manfaat rakyat turut dibangkitkan,” katanya.
Beliau berkata, bagi tahun 2024, setiap pejabat cawangan DBKL telah menerima peruntukan antara RM300,000 hingga RM500,000 bagi melaksanakan pelbagai aktiviti pembangunan sosial.
MENAIK TARAF INFRASTRUKTUR
Beliau berkata, ia termasuk menaiktaraf infrastruktur awam seperti dewan, jalan raya, parit dan taman di sekitar Kuala Lumpur.
Katanya, penekanan juga diberikan kepada keperluan untuk menambah baik kaedah penyaluran peruntukan ini agar lebih strategik dan efektif.
“DBKL bertanggungjawab untuk memastikan setiap peruntukan digunakan secara optimum, manakala laporan audit dan pemantauan berkala perlu dilaksanakan olehnya untuk mengelakkan pembaziran dan memastikan keberkesanan pelaksanaan projek,” tambahnya.
Sebagai langkah susulan beliau berkata, DBKL diminta untuk menyegerakan pelaksanaan cadangan-cadangan yang dibincangkan serta melaporkan perkembangannya kepada saya secara berkala.
Sehubungan itu, katanya kerjasama erat dan tindakan pantas daripada semua pihak adalah kunci bagi memastikan Kuala Lumpur terus membangun sebagai sebuah bandar raya yang sejahtera, mampan dan harmoni untuk penduduknya. – JM