Dua lelaki, seorang perempuan dipercayai “dalang utama” sindiket ejen haram diberkas

Oleh: Sholina Osman
6 SEPT. 2024

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memberkas dua orang lelaki dan seorang perempuan warga tempatan yang dipercayai ‘dalang utama’ sindiket ejen haram dalam satu Operasi Khas pada 4 dan 5 September 2024 di sekitar Putrajaya, Puchong, Kelana Jaya dan Sg Besi di Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata, turut ditahan seorang lelaki warganegara Vietnam dan seorang lelaki warganegara India yang dipercayai adalah ahli sindiket, dua perempuan warganegara Vietnam dan seorang perempuan warganegara Sri Lanka.

“Jumlah keseluruhan yang ditahan adalah seramai 8 orang dalam lingkungan umur di antara 22 hingga 42 tahun,” katanya dalam kenyataan media.

Ruslin berkata, operasi yang bermula pada pukul 3.22 petang itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

OPERASI TELAH DIATUR

“Ia berdasarkan risikan yang dijalankan selama dua minggu, pasukan operasi telah diatur gerak ke lokasi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, hasil semakan awal mendapati seorang lelaki warganegara Vietnam mempunyai pas yang masih sah laku, dua perempuan warganegara Vietnam dan seorang perempuan warganegara Sri Lanka telah tinggal lebih masa.

Manakala warganegara asing yang lain katanya, tidak memiliki sebarang dokumen yang perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.

Beliau berkata, pasukan operasi telah merampas sebanyak 209 naskhah pasport pelbagai negara terdiri daripada 131 naskhah pasport India, 22 naskhah pasport Sri Lanka, 18 naskhah pasport Bangladesh, 10 naskhah pasport Indonesia, 10 naskhah pasport Vietnam, 8 naskhah pasport Nepal, 6 naskhah pasport Pakistan dan 4 naskhah pasport Myanmar.

“Pasukan operasi turut menyita sebuah kenderaan Proton X70, sebuah kenderaan Proton Exora, sebuah kenderaan Nissan Almera dan sebuah kenderaan Audi,” katanya.

MENYASARKAN WARGANEGARA ASING

Tambahnya, modus operandi sindiket adalah menyasarkan warganegara asing di sekitar Lembah Klang dengan menawarkan perkhidmatan untuk berurusan dengan Jabatan Imigresen Malaysia berkaitan pasport dan pas seperti Pas Lawatan Sosial (PLS), Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), Pas Lawatan Ikhtisas (PLIK) dan Visa.

“Kadar bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM500 hingga RM1100 bagi setiap perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya.

Ruslin berkata, kesemua warganegara asing ditahan di Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Sek.6(3), Sek.15(4) dan Sek.56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63. Ketiga-tiga warga tempatan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.

Jabatan ini akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *