Wanita KEADILAN sokong penuh, semoga Malaysia berjaya rebut kerusi UNESCO

Oleh Noraini Nordin
2 September 2024

Hasrat Malaysia untuk bertanding kerusi Lembaga Eksekutif Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi penggal 2025 hingga 2029, amatlah dialu-alukan.

Malaysia secara rasmi mengumumkan percalonan bagi kerusi tersebut susulan pertemuan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek selaku Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM), yang akan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Ketua Pengarah UNESCO, Xing Qu di Paris, Perancis.

Dalam kenyataan oleh Kementerian Pendidikan, Malaysia menyatakan kesediaan untuk bersaing mendapatkan kedudukan dalam Lembaga Eksekutif UNESCO bagi membawa misi pertumbuhan nasional yang inklusif, melindungi alam sekitar, dan mempromosikan keadilan sosial, bersandarkan kepada prinsip Membina Masa Depan Yang Berbeza (BFD).

“Malaysia beriltizam melaksanakan beberapa langkah penting untuk merealisasikan objektif BFD melalui kompetensi UNESCO dalam bidang seperti pendidikan, sains semula jadi, sains dan sains sosial, kebudayaan, dan inisiatif kerjasama dengan semua pihak.

“Tindakan strategik ini dapat memberi sumbangan signifikan kepada impak kelestarian, inklusiviti, mencipta peluang, dan keamanan global,” kata kenyataan itu.

FADHLINA MENGETUAI LAWATAN MINGGU DIGITAL 2024 DI PARIS

Fadhlina kini berada Perancis bagi mengetuai lawatan Minggu Pembelajaran Digital 2024 di Ibu Pejabat UNESCO di Paris, bermula 1 September.

Dengan kesediaan Malaysia merebut kerusi tersebut, ini merupakan satu lagi pencapaian membanggakan buat negara.

Kira-kira 40 tahun lalu, secara spesifiknya tahun 1984, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu selaku Menteri Pelajaran telah berjaya memenangi jawatan Pengerusi UNESCO.

Kini, setelah 40 tahun lalu, Fadhlina cuba mengulangi kembali kejayaan Anwar itu yang sekarang sedang bergelar Perdana Menteri Malaysia.

Wanita KEADILAN menyokong penuh, sambil mendoakan kejayaan buat Fadhlina.


Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *