Syarikat pembungkus (repackers) perlu tanggungjawab elak ketirisan – Armizan

Oleh: Sholina Osman
1 SEPT. 2024

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengingatkan syarikat pembungkus (repackers) bahawa mereka tidak boleh lepas tangan dan perlu bertanggungjawab dalam memastikan tidak berlakunya sebarang ketirisan barang bersubsidi.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, syarikat pembungkus (repackers) akan turut disiasat sekiranya sesuatu jenama yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyelewengan dan penyeludupan dirampas dalam mana-mana operasi penguatkuasaan.

“Peringatan ini juga kepada semua pihak yang terlibat dalam rantaian pembekalan dan pengedaran minyak masak bersubsidi polibeg 1kg untuk lebih bertanggungjawab dalam memastikan subsidi ini benar-benar sampai kepada golongan sasar,” katanya dalam kenyataan media.

Armizan berkata, dalam satu kes terbaharu pada 23 Ogos 2024, KPDN bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah berjaya mematahkan sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi dalam serbuan ke atas tiga premis berasingan di Nilai, Negeri Sembilan.

Dalam serbuan tersebut katanya, sebanyak 180,200 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi pelbagai jenama telah disita, selain kenderaan dan beberapa dokumen seperti invois jualan dan belian.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dalam operasi tersebut dianggarkan berjumlah RM490,500.00.

LELAKI WARGA ASING

Bagi membantu siasatan jelasnya, seorang lelaki warga tempatan berumur 32 tahun bersama dua orang lagi lelaki warga asing yang juga merupakan pekerja syarikat berkenaan telah ditahan.

Hasil siasatan awal katanya, aktiviti yang disyaki telah didalangi oleh syarikat pemborong minyak masak yang berlesen ini adalah bertujuan menyeleweng dan memindahkan (decanting) minyak masak bersubsidi bungkusan polibeg 1kg untuk jualan pada harga lebih tinggi daripada harga kawalan selain diseludup keluar ke negara jiran.

“Siasatan sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] termasuk bagi mengenal pasti individu/syarikat lain yang terlibat dalam aktiviti haram ini serta rantaian pengedaran minyak masak bersubsidi itu,” katanya.

Armizan berkata, dari statistik penguatkuasaan OPS TIRIS 3.0 bermula 1 Januari 2024 hingga 28 Ogos 2024, sebanyak 29,487 pemeriksaan telah dilaksanakan di seluruh negara.

Daripada jumlah itu
katanya sebanyak 2,005 kes direkodkan dengan 496 individu telah berjaya ditangkap melibatkan warga tempatan dan warga asing dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM80.11 juta.

KPDN akan terus meningkatkan ketangkasan penguatkuasaan termasuk memperkasa kerjasama dengan agensi-agensi berkaitan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *