Pembantu kedai makan ditahan disyaki proses air ketum 444.5 liter

Oleh: Sholina Osman
2 SEPT. 2024

Seorang pembantu kedai makan ditahan kerana disyaki terlibat kegiatan memproses air ketum sebanyak 444.5 liter di sebuah kawasan seman, Jalan Kampung Sentua, Utan Aji, Kangar, Perlis.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, lelaki berusia 28 tahun itu ditahan semasa serbuan di kawasan berkenaan pada pukul 6 petang pada 1 September 2024.

Beliau berkata, ketika serbuan itu, polis menemui air ketum dan peralatan yang digunakan untuk memproses air ketum di kawasan berkenaan.

“Antara peralatan yang digunakan bagi memproses air ketum seperti tong gas, dapur gas, periuk, tong dan batang kayu pendayung,” katanya dalam kenyataan media.

MENJUAL AIR KETUM

Yusharifuddin berkata, hasil siasatan mendapati suspek menjual air ketum yang diprosesnya dengan harga RM5 sebungkus kepada penduduk di sekitar Kampung Sentua.

Katanya, jumlah keseluruhan air ketum yang dirampas ini boleh digunakan oleh sebanyak 1, 200 orang.

Beliau berkata, lelaki berkenaan direman selama tiga hari bermula 2 September 2024 bagi siasatan lanjut

Yusharifuddin berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kangar sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

SEDANG DALAM TINDAKAN

Katanya, pegawai penyiasat sedang dalam tindakan untuk melengkapkan kertas siasatan.

Tambahnya, rampasan barang kes akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa.

Beliau berkata, jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM100,000.00 atau penjara tirak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu orang awam dinasihatkan supaya menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya terdapat jiran atau sekitar kawasan perumahan terdapat aktiviti pengedaran dadah dan ketum eerta aktiviti yang menyalahi undang-undang. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *