Oleh: Sholina Osman
31 OGOS 2024
Syarikat Air Perlis (SAP) diminta segera bertindak mengatasi masalah bekalan air yang berlarutan sejak tiga tahun sehingga membuatkan lebih 3,000 orang penduduk di Rancangan Perumahan Awam (RPA) Batu 16 dan Kaki Bukit dalam dilema.
Terbaharu selama tiga hari berturut-turut iaitu dari 19 hingga 21 Ogos 2024, penduduk berkenaan terputus bekalan air.
Rata-rata penduduk terlibat merasa tidak puas hati kerana pihak SAP langsung memberi sebarang notis berhubung ketiadaan bekalan air.
Sebaliknya penduduk hanya mengetahui bekalan air terputus setelah masing-masing bertindak sendiri menghubungi pihak SAP.
MASALAH BEKALAN AIR
Atas keprihatinan dengan masalah bekalan air yang membelenggu penduduk di sini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling tampil bersama dengan Pengerusi Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Rangkaian Baharu Kaki Bukit, Leong Tong Heng bersama beberapa orang wakil penduduk tampil di pejabat SAP, Jalan Repoh, Kangar bagi menyerahkan memorandum berkaitan ini.
Memorandum ini telah diserahkan kepada wakil SAP iaitu Penolong Pengurus Agihan, Zulfadli Mohd Zubir dan Jurutera Halim Othman.
Dalam pertemuan itu, Ay Ling mencadang supaya SAP segera bertindak menyediakan dahulu tangki septik bagi kegunaan penduduk untuk mendapat sumber air apabila terputus bekalan.
Bagaimanapun katanya, perlu diadakan dahulu penerangan kepada awam supaya air dari tangki ini diguna secara berhemah.
“Kita tidak mahu ia menjadi pembaziran kepada mereka yang tidak bertanggungjawab menggunakan air tanpa sebab serta menjadi tempat kanak-kanak bermain air,” katanya.
PEMBIAKAN NYAMUK AEDES
Selain itu katanya, kandungan air ini perlu dipastikan bebas dari pembiakan nyamuk Aedes.
Katanya, pihak SAP kena pastikan paras air di tangki diperiksa selalu supaya ia ditambah bagi mengelak kehabisan terus.
Tong Heng berkata, kekerapan berlaku putus bekalan ini menyebabkan penduduk semakin hari mula tidak selesa untuk menetap di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, ia kerana air sering terputus bekalan terutama apabila penduduk sibuk menyediakan keperluan meraikan sambutan Tahun Baru Cina.
Katanya, semoga dengan penyerahan memorandum ini maka SAP akan segera menyelesaikan masalah ini supaya ia tidak berterusan sehingga menjadi mimpi ngeri kepafda ribuan penduduk di sini. – JM