Cubaan seludup heroin bernilai RM492, 375 antara lima kes ditumpaskan Kastam Perlis

Oleh: Sholina Osman
30 OGOS 2024

Cubaan seorang wanita warga Thai berusia 30 tahun untuk menyeludup dadah jenis heroin sebanyak 5.252 kilogram (kg) bernilai RM492, 375.00 gagal apabila bagasi miliknya melalui mesin pengimbas.

Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim berkata, ini kerana ketika melalui mesin pengimbas, pihaknya telah mengesan “sesuatu” dari bagasi milik wanita berkenaan sehingga membawa kepada pemeriksaan secara lebih lanjut.

Berikutan itu, katanya, wanita tersebut telah ditahan pada pukul 6.40 petang, 28 Ogos 2024 di bilik mesin pengimbas Unit Khas Pemeriksaan Penumpang (UKPP) di Kompleks
Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar.

“Pemeriksaan rapi ke atas bagasi tersebut telah menemukan dua beg tangan dan dua beg galas yang masing-masing mengandungi paket berwarna coklat yang disembunyikan di dalam ruangkan khas beg-beg tersebut,” katanya pada Sidang Media di Kompleks Kastam Negeri di Kangar, Perlis.

MENGANDUNGI SERBUK PUTIH

Ismail berkata, setelah dituris pada paket berkenaan didapati mengandungi serbuk putih yang disyaki dadah jenis heroin.

Beliau berkata, wanita berkenaan memberi alasan dia datang dari Bangkok kerana mahu ke Kuala Lumpur bagi meraikan hari lahir temannya.

Dengan penemuan itu, wanita berkenaan direman selama seminggu mulai 29 Ogos 2024 untuk siasatan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Selain itu Ismail berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Kastam Cawangan Penguatkuasaan Kuala Perlis telah memeriksa sebuah kereta Perodua Kancil yang bernombor pendaftaran Malaysia diparkir dan ditinggalkan di tepi jalan, Jalan Santan, Arau pada pukul 4 petang, 28 Ogos 2024.

DARI PELBAGAI JENAMA

“Hasil pemeriksaan ditemui 69 karton @ 12, 120 batang rokok dari pelbagai jenama yang disyaki tidak berkastam,” katanya.

Beliau berkata, kesemua rokok ini dianggarkan bernilai RM3,736 dan cukai RM8,372.88 manakala kenderaan anggaran bernilai RM3,000.

Ismail berkata, dalam kes lain sepasukan anggota Kastam Cawangan Penguatkuasaan Padang Besar telah berjaya merampas 170 kg daun ketum bernilai RM1,700.00 manakala kenderaan RM80,000.

Beliau berkata, kejayaan ini setelah pihaknya mengesan sebuah pikup jenis Isuzu D-Max bernombor pendaftaran Thailand telah ditinggalkan di kawasan lapang, Kampung Wang Kelian pada pukul 1 petang pada 1 Ogos 2024.

“Hasil pemeriksaaan ke atas kenderaan tersebut ditemui sejumlah bungkusan plastik warna jernih mengandungi tumbuhan hijau disyaki daun ketum,” katanya.

BAHAGIAN RUANG TAMBAHAN

Ismail berkata, daun ketum berkenaan diletakkan pada bahagian ruang tambahan di bawah ruang kargo terbuka di bahagian belakang kenderaan tersebut.

DI SEKITAR KAWASAN

Beliau berkata, pasukan menunggu di sekitar kawasan tersebut namun tiada sesiapa yang datang menghampiri maka tiada tangkapan.

Ismail menjelaskan, bagi satu kes lain pula membabitkan rampasan ketulan mampat disyaki dadah jenis kanabis seberat 123.16 gram yang bernilai RM3,364.40 di Unit Khas Pemeriksaan Penumpang, Pos ICQ Wang Kelian, Kaki Bukit.

Katanya, ini berikutan hasil pemeriksaan pegawai Kastam ke atas van Toyota Commuter bernombor pendaftaran Thailand yang dipandu seorang lelaki warga Thailand berusia 45 tahun lelaki yang membawa tujuh penumpang berusia 27 hingga 58 tahun pada pukul 5.40 petang pada 5 Ogos 2024.

“Hasil pemeriksaan ditemui satu bungkusan berbalut dengan pita pelekat berwarna coklat yang mengandungi ketulan mampat yang dimuatkan dalam sebuah mbeg kain berwarna celoreng,”
katanya.

Ismail berkata, beg itu diletaklan di bawah tempat duduk penumpang belakang di baris pertama.

DUA UNIK PAIP

“Juga ditemui dua unik paip plastik yang disyaki alatan untuk menghisap dadah,” katanya.

Ismail berkata, sepasukan anggota Kastam Cawangan Penguatkuasaan Kuala Perlis telah melakukan pemeriksaan kenderaan jenis Porsche 911 GT3 yang bernombor pendaftaran pulau bebas cukai (pulau Langkawi) di Pejabat Kastam Cawangan Penguatkuasaan Kuala Perlis di Jalan Sarawak.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan kenderaan berkenaan disaksikan warga Malaysia berusia 39 tahun.

Katanya, kenderaan itu disita dengan anggaran bernilai RM1, 200,200.00 yang melibatkan cukai sebanyak RM2,118,000.00. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *