Oleh: Sholina Osman
29 OGOS 2024
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa mengarahkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita India diteruskan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) sehingga suatu masa yang akan ditentukan kelak.
Beliau berkata, walau bagaimanapun keputusan juga akan dibuat berdasarkan faktor-faktor kepentingan dan keselamatan awam khususnya di kawasan sekitar Jalan Masjid India.
Dr Zaliha berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyelaraskan satu “taskforce” melibatkan agensi-agensi kerajaan dan pakar-pakar yang berkaitan untuk memastikan langkah yang perlu diambil bagi mencegah kejadian serupa daripada berulang.
Jelasnya, ia bagi memastikan bandar raya Kuala Lumpur selamat kepada semua warga dan pengunjungnya.
“Saya juga menekankan keperluan kesegeraan pelaksanaan audit integriti terhadap keseluruhan sistem utiliti di Kuala Lumpur sebagaimana saranan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof
merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air,” katanya dalam kenyataan media.
INSIDEN TANAH MENDAP
Sebelum itu Dr Zaliha mempengerusikan satu mesyuarat khas pada pukul 3 petang, 29 Ogos 2024, rentetan insiden tanah mendap di Jalan Masjid India yang melibatkan seorang wanita warganegara India pada 23 Ogos 2024.
Beliau berkata, operasi SAR telah pun masuk hari yang ke-7 dan dilaksanakan dengan penuh komitmen oleh pasukan DBKL, Polis Diraja Malaysia (PDRM), anggota Bomba, Jabatan Mineral dan Galian serta beberapa lagi agensi yang lain.
Namun katanya, sehingga kini tiada petanda positif mangsa ditemui walaupun pelbagai kaedah dan teknologi terkini seperti Ground Penetrating Radar (GPR) turut digunakan dalam membantu misi tersebut.
“Selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri, mesyuarat ini diadakan bagi tujuan menentukan hala tuju operasi mencari dan menyelamat, dengan mendapatkan pandangan dari pelbagai segi kepakaran,” katanya.
Katanya, tiga belas buah agensi yang terlibat terdiri daripada Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), DBKL, PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Jabatan Kerja Raya (JKR), Agensi Nuklear Malaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kesihatan, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS). – JM