Oleh: Sholina Osman
29 OGOS 2024
Kuala Lumpur mencatat sejarah apabila buat pertama kali disenarai kedudukan ke-93 daripada 100 tempat teratas bagi Kluster Sains dan Teknologi, menurut Indeks Inovasi Global (GII) 2024 yang diterbitkan oleh Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO).
Menteri Perdagangan Dalam
Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ini merupakan pencapaian besar untuk Malaysia di peringkat inovasi global dan di hadapan beberapa kluster ekonomi utama yang lain.
Beliau berkata, GII ialah penanda aras yang menyenaraikan kluster ekonomi berdasarkan keupayaan inovasi dengan penekanan antaranya melibatkan kluster Sains dan Teknologi (S&T).
“Penyertaan Kuala Lumpur dalam 100 teratas menunjukkan keupayaan Malaysia untuk bersaing di peringkat antarabangsa, terutamanya dalam bidang penyelidikan saintifik dan kemajuan teknologi,” katanya dalam kenyataan media.
Armizan berkata, dalam kalangan 100 kluster S&T teratas, Tokyo-Yokohama (Jepun) ialah kluster yang menunjukkan prestasi yang terbaik, diikuti oleh Shenzhen- Hong Kong-Guangzhou (China dan Hong Kong, China).
JUMLAH PERMOHONAN PCT
Beliau berkata, kedua-dua kluster ini menduduki tempat pertama dan kedua disebabkan oleh jumlah permohonan Triti Kerjasama Paten (PCT) yang tinggi.
Tahun ini katanya selain Kuala Lumpur, empat kluster baharu telah membuat kemunculan pertama dalam tempat 100 teratas, yang seterusnya mempelbagaikan lagi landskap inovasi global.
“Nanchang, China, telah berjaya mendapat kedudukan ke-94, manakala Kaherah, Mesir, di tempat ke-95, mencipta sejarah kali pertama buat kluster dari Afrika Utara tersenarai dalam kalangan kluster S&T teratas,” katanya.
Seterusnya kata Armizan, dua lagi kluster dari China, Kunming dan Wilayah Pentadbiran Khas Macao-Zuhai, berjaya menduduki tempat 100 teratas dengan masing-masing di kedudukan ke-98 dan ke-100.
Beliau berkata, metodologi penilaian GII tidak mengambil kira sempadan pentadbiran atau politik, sebaliknya menumpukan kepada kawasan geografi dengan jumlah kepadatan tinggi pereka cipta inovasi dan kajian saintifik.
“Lonjakan Kuala Lumpur dalam senarai berprestij ini juga dicapai melalui peningkatan ketepatan geokod,” katanya.
Beliau berkata, penyumbang utama kepada kejayaan ini juga termasuk penglibatan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Gunaan Nasional Malaysia (MIMOS), yang dikenal pasti sebagai pemohon paten tertinggi, khususnya dalam penyelidikan semikonduktor.
ORGANISASI PENERBITAN UTAMA
Selain itu, tambahnya Universiti Malaya (UM) turut diiktiraf sebagai organisasi penerbitan utama, sekaligus mengukuhkan lagi kedudukan Kuala Lumpur sebagai hab inovasi saintifik dan teknologi.
Armizan berkata, dalam usaha Malaysia menekankan aspek penyelidikan dan pembangunan, pencapaian ini membuka peluang untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa, menarik pelaburan, dan menggalakkan pertumbuhan yang berterusan dalam sektor sains dan teknologi negara.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) komited untuk menyokong usaha-usaha ini demi memastikan ekosistem inovasi Malaysia terus berkembang dan menyumbang kepada kemajuan ekonomi dan sosial negara,” katanya.
KPDN, melalui agensinya Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan universiti, institusi penyelidikan, dan pemain industri dalam sektor-sektor berpotensi seperti Elektronik dan Elektrik (E&E), Teknologi dan Inovasi, Pelancongan, Makanan dan Minuman, serta Industri Kreatif, yang memberi sumbangan besar kepada KDNK dan ekonomi keseluruhan negara.
Usaha ini bertujuan untuk meningkatkan pendaftaran paten tempatan dan memastikan Malaysia kekal di barisan hadapan inovasi global. – JM