PERKESO disyor perluas skop lindung lebih banyak pekerja gig

Oleh: Sholina Osman
28 OGOS 2024

Pertubuhan Keselamatan Pekerja Sosial (PERKESO) dicadangkan supaya memperluaskan lagi skop perlindungan yang merangkumi lebih banyak lagi pekerja gig di negara ini, kata Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar.

Beliau yang juga bekas Menteri Sumber Manusia berkata, PERKESO juga perlu bekerjasama rapat dengan syarikat-syarikat platform digital untuk memastikan pematuhan terhadap peraturan perlindungan sosial.

Sivakumar berkata, ini berikutan jumlah pekerja gig di Malaysia kini semakin meningkat.

Beliau berkata, ia mengikut trend global di mana ramai pekerja kini lebih gemar memilih pekerjaan fleksibel untuk mencapai keseimbangan kerja dan kehidupan yang lebih baik.

“Dianggarkan terdapat 1.3 juta pekerja gig di pelbagai platform di Malaysia,” katanya dalam kenyataan media.

KEKURANGAN JAMINAN PERLINDUNGAN

Sivakumar berkata, cabaran utama yang dihadapi oleh pekerja gig adalah kekurangan jaminan perlindungan yang diberikan kepada mereka.

Tambahnya, perlu ditekankan bahawa pekerja gig tidak diklasifikasikan sebagai pekerja di bawah Akta Kerja 1955.

Oleh itu katanya, mereka tidak dilindungi di bawah Akta ini dan hanya dilabelkan sebagai pekerja gig, yang menyebabkan mereka tidak mempunyai perlindungan pekerjaan yang formal.

Sementara itu sebagai mengulas mengenai pemandu Grab di seluruh Malaysia kini menerima perlindungan penuh daripada PERKESO, Sivakumar berbesar hati setelah melihat hasrat untuk melindungi pekerja gig akhirnya menjadi kenyataan.

Beliau berkata, sekaligus ini menandakan satu pencapaian penting dalam usaha PERKESO untuk menyokong pekerja gig.

“Perluasan perlindungan PERKESO kepada pemandu Grab merupakan langkah penting dalam evolusi perlindungan sosial di Malaysia,” katanya.

Jelasnya, ini menunjukkan komitmen pihak berkuasa dalam menangani keperluan tenaga kerja moden dan meletakkan asas untuk perlindungan yang lebih komprehensif bagi semua pekerja gig pada masa hadapan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *