RM2.5 juta untuk kemudahan asas, Internet di Kampung Orang Asli Kelinsing

Oleh: Sholina Osman
27 OGOS 2024

Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta bagi melengkapkan kemudahan asas termasuk Internet di Kampung Orang Asli Kelinsing, Sepang, Selangor.

Kenyataan media oleh Kementerian Komunikasi memaklumkan, kampung ini
adalah Kampung Angkat Kementerian Komunikasi di bawah Program Kampung Angkat MADANI.

Ia sejajar dengan kenyataan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan sewaktu ucapan Belanjawan 2024 telah mengumumkan bahawa kerajaan memperkenalkan Program Kampung Angkat MADANI yang memberikan tumpuan kepada melengkapkan kemudahan asas termasuk Internet di kawasan desa yang terpinggir.

“Peruntukan ini akan memenuhi keperluan penduduk kampung yang meliputi pembinaan semula balai budaya, kantin, tandas awam serta mewujudkan ruang niaga baharu dalam kawasan kompleks budaya kampung tersebut,” katanya.

Sebagai nilai tambah, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan membina sebuah Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).

MERAPATKAN JURANG DIGITAL

NADI ini dibina bagi membantu merapatkan jurang digital dan pengetahuan dengan menyalurkan maklumat yang tepat kepada rakyat.

Ia bagi memastikan kawasan luar bandar yang terdiri dari semua lapisan masyarakat tidak akan ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

Sebelum itu Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil telah bertemu dengan masyarakat Kampung Orang Asli Kelinsing.

Fahmi juga mengedarkan Jalur Gemilang menerusi Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) kepada 76 buah rumah di sekitar kampung ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan, Mohd Anis Othman dan Tok Batin Kampung Orang Asli Kelinsing, Rosmaini Baat. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *