Malaysia komited patuh piawaian antarabangsa FATF perangi pengubahan wang haram – Armizan

Oleh: Sholina Osman
27 OGOS 2024

Malaysia komited untuk mematuhi piawaian antarabangsa yang ditetapkan oleh Financial Action Task Force (FATF), yang menekankan kepentingan ketelusan pemunyaan benefisial sebagai asas utama dalam usaha memerangi pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, dalam konteks ini, pindaan terbaru pkepada Akta Syarikat 2016, melalui Akta Syarikat (Pindaan) 2024 yang telah berkuat kuasa sejak 1 April 2024, menandakan langkah signifikan dalam memperkukuh tatakelola korporat di negara ini.

Beliau berkata, kerangka perundangan baharu ini memperkenalkan pelbagai perubahan yang bertujuan untuk meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan syarikat, serta mempertingkatkan mekanisme kawal selia korporat.

“Pindaan ini melambangkan komitmen Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk bersama-sama menerajui strategi dan pendekatan yang lebih menyeluruh dalam menyokong agenda reformasi,” katanya dalam kenyataan media.

PENGUKUHAN KERANGKA TATAKELOLA

Armizan berkata, ia termasuk pengukuhan kerangka tatakelola Kerajaan dan tadbir urus negara secara keseluruhannya, serta memastikan ketelusan yang lebih baik dalam ekosistem perniagaan dan sektor korporat.

Selain itu katanya kerangka perundangan ini turut memberi penekanan kepada pengawasan yang lebih ketat dan pelaporan yang lebih jelas mengenai pemunyaan benefisial, dengan tujuan untuk mengurangkan risiko penyelewengan dan meningkatkan keyakinan pelabur serta pihak berkepentingan lain terhadap integriti sistem perniagaan di Malaysia.

Tambahnya, pendekatan ini adalah selaras dengan matlamat negara untuk menjadi sebuah pusat perniagaan yang berintegriti tinggi dan berdaya saing dalam arena global.

Sebelum itu Armizan melancarkan Persidangan Kebangsaan SSM atau lebih dikenali sebagai SSM National Conference (SSMNC2024) yang dianjurkan secara dalam talian dengan rekod penyertaan lebih 3,000 delegasi termasuk wakil daripada ahli-ahli Corporate Registers Forum dari Singapura, Hong Kong, Tunisia, Republic of Kiribati serta Afrika Selatan.

Matlamat utama persidangan ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai amalan terbaik korporat di samping membincangkan perkembangan terkini dalam perundangan yang mempengaruhi perniagaan di Malaysia bersama pakar-pakar yang diketengahkan:

SSM National Conference yang memasuki tahun ke-13 penganjuran pada 2024 telah berkembang menjadi sebuah platform utama untuk wacana dan perbincangan bagi para profesional perniagaan dan korporat.

Persidangan ini menyediakan ruang untuk peserta berinteraksi, bertukar pandangan dan mendalami aspek-aspek kritikal mengenai persekitaran perniagaan yang sentiasa dinamik dan mengalami perubahan pesat.

SSMNC2024, yang mengangkat tema “Enhancing Corporate Transparency. Building Resilience”, menampilkan 11 sesi plenari, 39 penceramah terkemuka dan 15 pempamer maya yang akan menyajikan pelbagai perspektif dan kepakaran.

Antara topik penting yang akan dibincangkan termasuklah Companies (Amendment) Act 2024: Unmasking Control, yang membahas ketelusan pemunya benefisial dan pelaksanaannya, Companies (Amendment) Act 2024: Strengthening Corporate Rehabilitation Framework, yang memfokuskan pada pengukuhan kerangka pemulihan korporat, Building Corporate Resilience in A Disruptive AI Future yang meneroka cabaran dan
strategi untuk ketahanan korporat dalam era kecerdasan buatan yang mengganggu amalan sedia ada, serta Accelerating Digital Economy for SMEs yang mengkaji langkah-langkah untuk mempercepatkan ekonomi digital di kalangan perusahaan kecil dan sederhana.

Tema yang dipilih tahun ini menekankan keperluan kritikal untuk mewujudkan persekitaran perniagaan yang bukan sahaja telus tetapi juga bertanggungjawab.

Ketelusan bukan sekadar satu kewajipan pematuhan tetapi juga merupakan komponen strategik yang penting dalam membina daya tahan dan keberkesanan jangka panjang dalam landskap perniagaan yang semakin kompleks. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *