Oleh: Sholina Osman
27 OGOS 2024
Buah durian jenis Musang King Malaysia telah dijual dengan harga RM350 sebiji di China.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menerusi hantarannya dalam Facebook (FB) miliknya juga menyebut
durian Musang King juga mendapat permintaan yang amat tinggi kerana dalam masa beberapa jam sahaja kesemua stok telah habis terjual.
Mohamad juga melihat sendiri gudang pembungkusan dan pengedaran durian segar oleh syarikat Joy Ming Mau di Shenzhen, China.
DURIAN SEGAR MALAYSIA
Tempoh masa durian segar Malaysia diedarkan ke outlet-outlet jualan di Shenzen hanya dalam masa dua hari sahaja.
Beliau kemudiannya dibawa ke Pasaraya Sam’s Club dan Ole di Shenzhen pula.
Di sinilah beliau melihat durian jenis Musang King Malaysia telah dijual sekitar RM350 sebiji di sini.
Beliau juga difahamkan para pengimport durian dari China juga sedang mengkaji untuk membawa durian jenis lain seperti durian kampung ke pasaran China.
“Sama-sama kita berdoa agar pada masa hadapan, durian kampung juga akan mendapat permintaan yang tinggi di sini supaya semua penanam durian akan turut menikmati hasil daripada usaha ini,” katanya.
PENGHANTARAN DURIAN SEGAR
Dalam kenyataan media Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyebut penghantaran durian segar pertama Malaysia ke China telah tiba di Lapangan Terbang Kargo Zhengthou pada 25 Ogos 2024.
Sebanyak sebanyak 15 tan metrik (mt) pelbagai jenis durian seperti Musang King, D24 dan Black Thorn telah tiba pada 25 Ogos 2024 dan penghantaran seterusnya sebanyak 15 mt ke Zhengzhou dan 10 mt ke Shenzen pada 26 Ogos 2024.
Penerimaan buah durian segar melalui udara pertama ke China itu telah disempurnakan oleh Mohamad bersama-sama Executive Vice Governor Wilayah Hanan, Sun Shougang dan Pengurus Besar Zhongyu Aviation Group pada 25 Ogos 2024.
Untuk makluman, durian segar ini terus diedarkan oleh 10 syarikat pengimport menerusi outlet-outlet peruncitan mereka di enam wilayah iaitu Beijing, Zhengzhou, Shanghai, Guangtou, Shenzhen dan Nanning. – JM