Pesan Zahid, UMNO mesti keluar dari Zon Selesa

Oleh Noraini Nordin
(Sorotan PAU 2024 – WTCKL)

24 Ogos 2024

Sehari selepas Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh tidak menolak kemungkinan UMNO akan bertanding solo dalam PRU15 akan datang, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi jelas memberi bayangan sebaliknya.

Katanya, sokongan ahli UMNO semata-mata tidak mungkin mampu memenangkan parti dalam pilihan raya.

Ini kerana katanya, pengundi di luar yang bukan ahli UMNO adalah lebih besar dan merupakan penentu kemenangan yang sebenar.

PENGUNDI LUAR JADI PENENTU

“Jika sebelum ini kita mengambil pendekatan “go solo”, adakah ia merupakan langkah terbaik dalam keadaan politik semasa?

“Berdasarkan data dan sentimen sekarang, apakah kelebihan yang kita ada?

“Dengan pertambahan pengundi baru pula, dapatkah kita menguasai persepsi mereka?

“Ahli UMNO sahaja tidak mampu memenangkan kita. Yang menjadi penentu adalah pengundi di luar sana.

“Yang di luar itu jauh lebih besar peratusannya dah jauh lebih ramai jumlahnya,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung Umno 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, semalam.

Ketika Perhimpunan Agung Pemuda UMNO Khamis lalu, Dr Akmal tidak menolak kemungkinan parti itu bergerak sendirian dalam PRU akan datang.

Beliau berkata, UMNO masih belum membuat sebarang keputusan untuk bekerjasama dengan siapa pada PRU16 nanti.

“Mungkin hari ini kita bersama orang itu, tapi minggu depan kita mungkin akan berubah.

“Jadi sudah tentu option itu terbuka, mungkin juga kita boleh bersama mana-mana parti, selagi mana dia menguntungkan bangsa, agama dan negara,” katanya.

UMNO BUKAN LAGI PARTI DOMINAN

Dalam hal berkaitan, Ahmad Zahid mengingatkan bahawa UMNO kini bukan lagi parti dominan seperti sebelum ini.

Untuk itu, tegasnya UMNO mesti keluar daripada “echo chamber” dan zon selesa.

“UMNO mesti berani berdepan dengan idea-idea baru dan perspektif yang beragam agar tetap relevan dalam lanskap politik yang semakin kompleks,” ujarnya lagi.

Dalam membentuk persefahaman, beliau menegaskan, ia perlu dinilai apakah kerjasama mesti dibentuk sebelum memasuki gelanggang pilihan raya ataupun selepasnya.

“Jika kita ingin membentuk persefahaman pula, apakah bentuk kerjasama yang hendak diterjemahkan.

“Apakah kerjasama sebelum memasuki gelanggang pilihan raya atau selepas pilihan raya barulah dibuat pertimbangan?

“Kesemua ini memerlukan percaturan semasak-masaknya.

“Sebagai parti yang membentuk sebuah negara bangsa, apa pun pencak politik atau langkah yang hendak diambil, kepentingan negara dan rakyat adalah pra syarat yang tidak akan kita korbankan,” kata Ahmad Zahid – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *