Oleh Noraini Nordin
[Sorotan PAU 2024 WTCKL]
23 Ogos 2024
Antara perkara penting sebagai intipati ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di perasmian Perhimpunan Agung UMNO [PAU] 2024 tahun ini adalah berkenaan kerjasama parti itu dalam membentuk Kerajaan Perpaduan.
Gambarannya ialah berkongsi kuasa untuk membentuk kerajaan campuran bukan perkara baharu bagi UMNO dan negara ini, bahkan ia telah dipraktikkan seawal Malaysia mengamalkan sistem demokrasi lagi.
Katanya, tidak hanya Malaysia, parti dominan di Jepun dan Indonesia juga telah mengukuhkan kuasanya dengan menjalinkan kerjasama bersama parti politik yang lain.
Malah, jelas Ahmad Zahid Hamidi lagi, 70 negara seperti Jerman, Itali, Perancis dan Belanda telah menerima pakai model tadbir urus seperti itu sebagai cara untuk memandu lanskap politik yang semakin kompleks.
” Negara-negara yang mempunyai sejarah pemerintahan parti tunggal suatu ketika dahulu, menyaksikan peralihan bentuk kerajaan.
Peralihan ini disebabkan trend pengundi yang tidak lagi memberikan mandat besar kepada satu parti sahaja.
Contohnya Liberal Democratic Party (LDP) di Jepun, yang memegang kuasa selama hampir empat dekad beralih ke arah tadbir urus gabungan sejak pertengahan 1990-an.
Pada pilihan raya lalu LDP menguasai 261 kerusi sebagai blok terbesar, namun, hanya dengan kerjasama parti Komeito yang memiliki 32 kerusi, barulah Fumio Keshida dapat membentuk kerajaan dan menjadi Perdana Menteri.
“Di Indonesia, Presiden Prabowo sedang mengukuhkan kuasanya dengan menjalin pakatan bersama parti-parti lain.
“Di India, parti BJP pimpinan Narendra Modi yang menikmati mandat kukuh selama hampir 10 tahun juga memerlukan kerjasama dan rundingan dengan 20 rakan gabungan,” katanya lagi di Dewan Merdeka WTC Kuala Lumpur.
Ahmad Zahid berkata, kerjasama UMNO dan BN bersama PH tidak dapat dielakkan selepas tiada mana-mana parti yang bertanding dalam PRU15 lalu memperolehi majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.
PERKONGSIAN KUASA DALAM KERAJAAN PERPADUAN
Memasuki tahun kedua melayari fasa perkongsian kuasa dalam Kerajaan Perpaduan, Zahid Hamidi menegaskan, UMNO perlu melihat realiti politik semasa dan kebarangkalian pada masa hadapan.
Katanya, perkongsian kuasa harus diterima bukan sebagai sesuatu asing bagi Malaysia.
“Seawal proses demokrasi negara mula diperkenalkan, melalui Pilihan Raya Umum Persekutuan pada 27 Julai 1955, Perikatan yang dianggotai oleh UMNO, MCA dan MIC memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan.
“Walaupun kita bertanding atas satu parti gabungan, namun hakikatnya ia adalah juga model perkongsian kuasa.
“Rakyat pada ketika itu, telah menerima acuan perkongsian kuasa ini, sebagai model yang diyakini untuk meneruskan perjalanan Persekutuan Tanah Melayu, menuju kemerdekaan,” ujar Presiden UMNO itu lagi.
Ucapan Ahmad Zahid yang penuh bermakna itu diharap dapat difahami oleh seluruh ahli-ahli parti termasuk parti-parti daripada Kerajaan Perpaduan.
Soksek soksek,…
Ngok..Ngok’ sepatutnya sudah lama dihentikan supaya usaha mengharmonikan negara boleh dilakukan tanpa gangguan.
PAU 2024 menyaksikan kehadiran seramai 6,433 perwakilan UMNO daripada seluruh negara yang terdiri daripada sayap-sayap parti Pemuda, Wanita dan Puteri .
PAU 2024 telah bermula pada 21 Ogos hingga 24 Ogos 2024 – JM