Oleh Noraini Nordin
(Sorotan PAU2024 – WTCKL)
22 Ogos 2024
Politik toksik dan batil sedang melanda landskap politik Melayu pada skala yang luar biasa, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Ucapan Mohamad Hasan atau lebih mesra dengan panggilan Tok Mat disahut dengan tepukan gemuruh para perwakilan PAU2024 di Dewan Merdeka – WTCKL.
Ucapan bernas Tok Mat memang tepat pada masanya kerana politik toksid jika tidak dicegah boleh memusnahkan impian rakyat Malaysia untuk hidup harmoni.
Berucap pada majlis perasmian serentak perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, beliau berkata, orang Melayu perlu sedar politik bersandarkan kebencian dan nista hanya menambah perpecahan orang Melayu dan memundurkan politik bangsa itu ke tahap paling rendah.
Media sosial, tambahnya, telah menjadi arena kepada revolusi yang mengetengahkan ‘politik toksik’, kebencian dan nista ini.
BANGKIT MEMERANGI KEROSAKAN
Dengan itu, beliau mahu semua perwakilan bangkit memerangi kerosakan itu dengan akal rasional.
“Pemerhatian saya, politik matang, sopan, bernas dan bersandarkan idea terbaik telah mati di persada politik orang-orang Melayu.
“Orang Melayu mesti disedarkan, bahawa politik kebencian dan toksik yang melampau ini, akan menjadikan kita anti akal, anti kebenaran dan anti segala-galanya,” kata beliau lagi.
Mohamad Hasan turut memberi amaran jika politik melampau tidak dicegah, dikhuatiri akan mencederakan ‘budaya dan adab politik Melayu dengan kecederaan yang dahsyat, yang kemuncaknya akan mencetuskan keganasan’.
“UMNO mesti kembali menjadi ketumbukan politik yang rasional. Kita mesti menjadi armada yang memerangi politik toksik ini dengan ilmu, hikmah dan kebaikan.
“Jawapan kita, atau serangan balas kita, harus dengan akal, bukan nafsu dangkal.
“Harus dengan data, bukan kata nista. Harus dengan hikmah bukan dengan fitnah.
“Masa depan UMNO adalah sangat bergantung, kepada keberkesanan kita untuk memerangi ‘politik toksik ini’,”katanya lagi.
Justeru, beliau menggesa perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri agar membahas dan meneroka usaha memerangi gejala politik toksik dalam sesi perbahasan PAU2024 kali ini.
“Ketengahkan cadangan dan usul yang boleh kita lakukan bagi membanterasnya.
“Kita harus mempunyai strategi konkrit. Jika ada undang-undang yang harus dipinda, ia mesti diusulkan,” tegasnya – JM