Kes orang hilang tarik perhatian pelajar KUIPs, sedia tangani bersama

Oleh: Sholina Osman
23 OGOS 2024

Kekerapan laporan orang hilang sejak akhir-akhir ini telah mendapat perhatian kalangan pelajar Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang menyifatkan isu ini perlu ditangani secara bersama dengan membabitkan setiap ahli masyarakat.

Tiada istilah tunding menunding jari untuk menyalahkan antara satu sama lain kerana ia tidak akan membawa kepada jalan penyelesaian.

Tambahan pula dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa data diperoleh daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes membabitkan orang hilang di negara ini kekal 900 insiden setiap tahun.

Beliau berkata, daripada kes orang hilang yang dilapor, peratusan yang ditemui itu tinggi iaitu antara 85 hingga 90 peratus, jadi kekal hilang itu sekitar 10 hingga 15 peratus.

Para pelajar KUIPs berharap jika menyedari ada kalangan anggota keluarga, sahabat, rakan sekerja tiba-tiba hilang, segera membuat laporan polis dan lakukan hebahan kepada orang ramai menerusi apa saja sama ada di komuniti masing-masing dan juga media sosial dengan segera.

BERSIKAP LEBIH MATANG

“Cuba bersikap lebih matang, jangan hanya menyalahkan sesiapa sebaliknya bertindak segera menghebahkan berita kehilangan supaya tindakan segera dapat diambil untuk mengesan mereka sebelum terlambat,” kata pelajar semester dua program Ijazah Sarjana Muda Logistik dan Pengurusan Rantaian Bekalan, Ali Zikri Mohammad Syahnaz, 20.

Katanya, berita kehilangan orang sekarang semakin menjadi-jadi serta membimbangkan sejak akhir-akhir ini seperti yang dipaparkan di media cetak atau media sosial.

Jelasnya, sekalipun kes orang hilang berjaya diselesaikan dan ditemui semula dalam keadaan selamat misalnya kehilangan Albertine Leo Jia Hui, kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dari Iskandar Puteri, Johor pada Julai lalu namun yang paling membimbangkan jika insiden kehilangan itu berakhir dengan tragedi menyayat hati.

Beliau berkata, pastinya semua pihak yang mengikuti misteri kehilangan seorang guru, Istiqomah Ahmad Rozi, 34, yang berakhir dengan penemuan mayat yang tidak sempurna di tepi jalan berhampiran Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka pada 31 Disember lalu yang telah disahkan milik wanita tersebut berdasarkan hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan,” katanya ketika ditemui semasa program jelajah FPSP di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hassan, Kangar pagi tadi.

SUPAYA BERTINDAK SEGERA

Ali Zikri berharap semua pihak terutama golongan pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sama ada awam atau swasta dan kalangan mereka yang aktif dengan media sosial supaya bertindak segera untuk melaporkan kehilangan atau mengesan segera sekiranya terdengar berita mengenai kehilangan orang.

Manakala rakannya Ahmad Khairul Danial Mohd Depi, 20, pelajar semester dua Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan berharap maklumat mengenai insiden kehilangan orang perlu menjadi pengajaran kepada semua orang terutama kanak-kanak dan belia.

“Semua pihak tidak kira pelajar atau mana-mana individu jangan cepat percaya dengan mereka yang baharu sahaja dikenali melalui media sosial terutamanya dan pergerakan mereka juga jangan keseorangan dan harus memaklumkan kepada ahli keluarga atau rakan-rakan pergerakan mereka agar mudah dikesan nanti,” ujar Ahmad Khairul lagi.

Khairul juga sentiasa beringat dan memaklumkan pergerakan kepada ahli keluarga dan rakan-rakan sejak peristiwa orang hilang yang menjadi-jadi sekarang ini.

Bagi pelajar semester tiga Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat Syed Muhammad Fitri Sayid Mohamad, 20, berkata, insiden orang hilang yang dilaporkan sejak akhir-akhir ini juga mengharuskan setiap individu juga perlu elakkan berjalan seorang diri, jangan pamerkan barangan berharga, elakkan melalui laluan yang sama, sentiasa bawa alat keselamatan, jangan berkongsi lokasi ‘live’ secara terbuka dan harus memaklumkan kepada keluarga terdekat atau rakan-rakan mengenai pergerakan mereka.

INSIDEN KEHILANGAN ORANG

“Dalam beberapa laporan sebelum ini, ada juga kes ‘orang hilang’ sebenarnya tidak melibatkan kes jenayah, sebaliknya hanya keluar bersiar-siar bersama rakan-rakan bagi melepaskan stres tetapi tidak memaklumkan kepada keluarga kerana pada mulanya mungkin hanya berjalan-jalan untuk bersuka ria ke sana ke mari tanpa tujuan namun akhirnya tersesat ke tempat lain dan lambat pulang ke rumah,” sambungnya.

Syed Muhammad Fitri juga tidak menyangkal ada juga kes orang hilang sebenarnya merajuk dengan ibu bapa, lalu mengambil keputusan bermalam di rumah kawan-kawan tanpa memaklumkan kepada keluarga dan akhirnya Ibu bapa membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan anaknya itu.

Namun apa pun dalam senario hari ini semua pihak harus memainkan peranan agar insiden orang hilang dan berakhir dengan tragedi ini tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak.

“Saya dan rakan-rakan di KUIPs sentiasa bersedia membantu sekiranya masyarakat terutama pelajar ingin berkongsi maklumat atau memerlukan pertolongan untuk membantu dan menangani masalah orang hilang ini,” ujarnya lagi. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *