Oleh: Sholina Osman
25 OGOS 2024
Sebanyak 286 peserta telah menyertai “National Innovation And Invention Competition Through Exhibition” (iCompEx 2024) anjuran Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Jitra, Kedah baru-baru ini.
Pengarah POLIMAS, Rosli Idris berkata, sebanyak sembilan kategori dipertandingkan pada iCompEx 2024.
Beliau berkata, apa yang membanggakan iCompEx 2024 bukan sahaja melibatkan peserta di dalam negara malah melangkau ke peringkat antarbangsa iaitu Bangladesh, Indonesia, Libya dan juga Arab Saudi.
Katanya, pertandingan ini
mengumpulkan pemimpin dan pemikir dari pelbagai bidang, saintis, ahli akademik, jurutera, usahawan dan berwawasan yang bersatu dalam matlamat membentuk masa depan yang lebih cerah.
Rosli berkata, kumpulan yang pelbagai ini termasuk individu dari politeknik, kolej komuniti, sekolah, institusi pengajian tinggi, dan kedua-dua agensi kerajaan dan swasta.
BERFIKIR DILUAR SEMPADAN
“Apa yang benar-benar membezakan persaingan ini ialah keupayaannya untuk memberi inspirasi kepada para peserta untuk berfikir diluar sempadan konvensional, memacu inovasi yang luar biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan sempena Majlis Perasmian dan Penutupan i-CompEx 2024 yang tekah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Ts. Muhamad Rumzi Mamat sebagai mewakili Menteri Pendidikan Tinggi.
Selain itu katanya, i-CompEx juga turut disertai seramai 47 peserta bagi kategori pitching TVET.
“Tahap penglibatan yang mengagumkan ini bukan sahaja mempamerkan kekuatan persaingan kami tetapi juga memupuk kerjasama yang berharga antara institusi akademik dan sektor industri,” katanya.
Daripada 286 penyertaan inovasi ini, POLIMAS telah memperolehi 7 Pingat Emas , 15 Pingat Perak dan 4 Pingat Gangsa.
SUATU USAHA BERTERUSAN
i-CompEx 2024 yang diadakan ini merupakan suatu usaha berterusan POLIMAS dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta sokongan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti bagi menjadikan aktiviti inovasi sebagai nadi penggerak dalam melahirkan modal insan berkualiti dan kreatif dalam usaha melahirkan rekacipta terbaru serta terkini yang boleh digunapakai dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan juga memudahkan proses kerja dan aktiviti teknikal dalam penghasilan produk terbaru.
Program ini dianjurkan bagi menyediakan platform kepada staf, pensyarah dan penyelidik dari seluruh dunia untuk mempertandingkan inovasi terkini yang dihasilkan oleh mereka.
Selain itu, program ini juga bertujuan menghimpunkan inovasi terkini yang telah dihasilkan pelajar institut pengajian tinggi, pensyarah, guru dan pelajar sekolah bagi berkongsi serta bertukar-tukar idea dan pengalaman daripada inovasi yang dihasilkan dan seterusnya memperkembangkan lagi jaringan hubungan sesama sendiri. – JM