Akmal jangan terlebih mengada-gada, fokus pada kerja masing-masing

Oleh Noraini Nordin
(Sorotan PAU-2024 WTCKL)

25 Ogos 2024

Selepas mengeluarkan kenyataan yang tidak disenangi banyak pihak iaitu UMNO mungkin bertanding solo pada PRU16 akan datang, Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh sekali lagi mencetuskan ketidakselesaan dalam Kerajaan Perpaduan.

Ketika majlis penggulungan PAU2024 petang semalam, beliau menyarankan agar jawatan Menteri Komunikasi digantikan dengan wakil daripada pemimpin UMNO.

Beliau mengungkapkan saranan demikian sebagai respon spontan berikutan perwakilan UMNO menghadapi kesukaran untuk mengakses aplikasi media sosial melalui telefon pintar masing-masing semasa berada dalam Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

“Line tidak ada? Siapa Menteri Komunikasi?

“Datuk Seri Presiden, saya rasa Menteri Komunikasi kita tukar orang UMNO senang,” katanya.

Dalam hal ini, ingin dipesan kepada Dr Akmal, dalam struktur Kerajaan Perpaduan sekarang, jawatan Menteri Komunikasi adalah kouta PKR, bukan kouta UMNO.

Kalau pun ingin ditukar, ia mestilah diganti dengan pemimpin daripada PKR juga.

Ia sama macam kouta mana-mana menteri yang kini dipegang oleh pemimpin UMNO, jika ia ingin diganti, penggantinya mestilah datang daripada UMNO juga.

KUASA MENUKAR

Kalau ditukar dengan pemimpin parti lain, struktur sedia ada kelihatan tempang dan akan menimbulkan masalah lain pula.

Selain itu, kuasa menukar, mengganti atau menggugurkan mana-mana menteri adalah kuasa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bukan kuasa Presiden UMNO.

Presiden UMNO ada kuasa menukar, mengganti dan menggugurkan mana-mana menteri hanya ketika era BN berkuasa di mana Presiden UMNO ketika itu adalah Perdana Menteri.

Tetapi era itu sudah berlalu sekarang ini.

Kini, Presiden UMNO bukan lagi Perdana Menteri, sebaliknya Perdana Menteri adalah Presiden PKR.

Presiden UMNO selaku Timbalan Perdana tidak ada kuasa sebagaimana dimiliki Perdana Menteri.

Harap Dr Akmal faham hakikat ini, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar.

Tolonglah jangan mengada- gada mengomel sana mengomel sini. Fokuslah kerja dan tugasan masing-masing.

Marilah kita meraikan perpaduan dengan semangat juang untuk turus mempertahan Kerajaan Perpaduan secara konsisten.


Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *