Oleh: Sholina Osman
22 OGOS 2024
Polis Padang Besar telah berjaya mengutip kompaun sejumlah RM17,310.00 dari 125 saman tertunggak oleh warga asing pada tahun ini.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner, Mohd. Shokri Abdullah berkata, kutipan kompaun itu diperoleh hasil dari pelaksanaan Operasi Saman Tertunggak Warga Asing (OSTWA).
Beliau berkata, pelbagai kesalahan yang dilakukan oleh warga asing ini seperti lalu lintas dan undang-undang jalan raya.
“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar juga telah mengeluarkan 3,627 saman dan mengutip kompaun sebanyak RM102,330.00 dari Januari hingga Julai 2024,” katanya.
Mohd Shokri berkata demikian pada sidang media sempena Perlupusan Barang Kes (ekzos motosikal) yang dirampas tahun 2021 di pekarangan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik, Padang Besar.
Mohd Shokri berkata, pelupusan ekzos itu dilakukan setelah mendapat perintah dari Majistret Mahkamah Kangar di bawah Seksyen 407 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).
MELAKSANAKAN OPERASI KHAS
Beliau berkata, ia hasil BSPT IPD Padang Besar yang melaksanakan operasi khas selama sebulan pada Mac 2021 bagi mengesan dan menangani kesalahan bunyi bising akibat ekzos yang diubah suai.
Katanya, sebanyak 21 motosikal telah disita mengikut Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) serta merampas 21 ekzos yang diubahsuai bagi menghasilkan bunyi bising yang menganggu kententeraman awam.
Beliau berkata, semua motosikal yang disaman ini ada atas kesalahan ubahsuai ekzos dan pelbagai kesalahan lalu lintas.
Tambahnya, sebelum kesemua motosikal diserahkan kembali kepada pemilik, mereka dikehendaki menukar ekzos kepada jenis asal mengikut yang ditetapkan undang-undang.
Mohd Shokri berkata, sebanyak 17 motosikal telah disita hasil pelaksanaan pelbagai operasi dari Januari hingga Ogos 2024. – JM