Oleh: Sholina Osman
22 OGOS 2024
Menteri Pertanian dan
Keterjaminan Makanan mengunakan pentas The Ninth Asia Pacific Economic Cooperation Food Security Ministerial Meeting (The 9th FSMM) untuk
mengetengahkan isu krisis kemanusiaan dan keterjaminan makanan yang sedang berlaku di Gaza.
Datuk Seri Mohamad Sabu juga menyeru ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) untuk mengambil tindakan segera di dalam kapasiti masing-masing untuk membantu penduduk di Palestin, terutamanya di dalam usaha mengatasi masalah kelaparan dan kebuluran terutamanya yang menjejaskan golongan kanak-kanak di Gaza.
Beliau turut memaklumkan inisiatif terkini yang telah diambil Malaysia untuk membawa 127 rakyat Palestin ke Malaysia untuk menjalani rawatan kesihatan atas dasar kemanusiaan.
Kenyataan media oleh Kementerian Pertanian dan
Keterjaminan Makanan (KPKM) menyebut Mohamad telah mengetuai delegasi Malaysia untuk menghadiri The 9th FSMM di Trujillo, Peru pada 18 Ogos 2024.
Malaysia merupakan salah satu daripada 21 ekonomi APEC di samping Amerika Syarikat, Australia, Brunei Darussalam, Chile, Republik Rakyat China, Filipina, Hong Kong, Republik Indonesia, Jepun, Kanada, Republik Korea, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Rusia, Singapura, Chinese Taipei, Thailand dan Viet Nam.
PENGUKUHAN KOMITMEN EKONOMI
Agenda utama bagi The 9th FSMM kali ini meliputi pengukuhan komitmen ekonomi APEC dalam memartabatkan dan meneruskan usaha ke arah kestabilan dan keterjaminan makanan di rantau Asia Pasifik.
Menteri Pertanian dan wakil Menteri daripada 18 ekonomi APEC telah hadir bagi merumus dan mempersetujui dokumen Trujilo Principles For Preventing and Reducing Food Loss and Waste (Trujilo Principles) dan juga Deklarasi Menteri Pertanian Ekonomi APEC Trujilo berhubung Keterjaminan Makanan.
Dokumen Trujilo Principles merupakan pelengkap kepada dokumen Food Security Roadmap Towards 2030 yang dibangunkan pada tahun 2021 semasa The 6th FSMM di mana ekonomi APEC sepakat untuk bersama-sama mencapai matlamat menyediakan makanan yang mencukupi, selamat, berkhasiat, mudah diakses dan berpatutan untuk semua.
Dokumen Trujilo Principles ini memberi panduan kepada 21 ekonomi APEC dalam usaha menyokong pembangunan mampan sistem makanan dan komitmen memulihara alam sekitar bagi mencapai Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (Sustainable Development Goals – SDG).
Deklarasi Menteri Pertanian berhubung Keterjaminan Makanan Trujilo pula merupakan satu dokumen yang dibangunkan oleh Peru untuk mengetengahkan tema Peru selaku tuan rumah APEC 2024.
PEMBANGUNAN BERDAYA TAHAN
Deklarasi ini memberi tumpuan kepada pertumbuhan mampan untuk pembangunan berdaya tahan dan meneruskan komitmen seperti yang digariskan dalam pelan hala tuju dan komitmen ekonomi APEC.
Antara lain, deklarasi ini menyentuh mengenai usaha pelbagai hala untuk mencegah dan mengurangkan kehilangan serta pembaziran makanan (food loss and waste – FLW) di sepanjang sistem rantaian makanan.
Semasa mesyuarat The 9th FSMM, Mohamad telah menyatakan sokongan penuh Malaysia ke atas dokumen Trujilo Principles tersebut serta perhargaan kepada semua ekonomi APEC atas usaha kolektif dalam memuktamadkan dokumen tersebut semasa mesyuarat tahun ini.
Beliau turut berkongsi mengenai usaha negara ke arah menangani isu FLW di dalam negara selaras dengan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025. – JM