Penganggur baharu keluar penjara ditahan lagi bawa 2.85 ganja bernilai RM9,300

Oleh: Sholina Osman
20 OGOS 2024

Baharu keluar penjara Februari lalu dengan 11 rekod lampau berkaitan dadah tetapi si penganggur berusia 32 ini masih tidak serik apabila terkini ditahan lagi bersama 2.85 kilogram dadah jenis ganja di Padang Besar, Perlis.

Tangkapan dilakukan pada pukul lebih kurang pukul 12.05 tengah hari pada 18 Ogos 2024.

Ketua Polis Padang Besar, Asisten Komisioner, Mohd Shokri Abdullah berkata, kesemua tiga bungkusan dadah jenis ganja yang dirampas ini bernilai RM9,300.00.

“Sekaligus pihak polis dapat menyelamatkan dadah ini dari digunakan oleh 2,850 penagih,” katanya dalam kenyataan media.

HASIL TINDAKAN SUSULAN

Mohd Shokri berkata, tangkapan ini adalah hasil tindakan susulan sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Kedah yang terdiri dari seorang pegawai dan lima anggota.

Katanya, pasukan berkenaan telah berjaya menahan suspek yang semasa itu sedang duduk di atas sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 warna hitam.

Beliau berkata, lokasi kejadian itu di hadapan sebuah kedai wakil Insurans Fang Chee Foong di Jalan Padang Besar, Perlis.

Mohd Shokri berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas suspek telah ditemui satu bungkusan plastik bertangkai di tangan kirinya.

“Di dalam beg plastik itu mengandungi satu bungkusan plastik lut sinar yang diikat dengan benang disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran seberat 950 gram dan dua bungkusan plastik lutsinar lagi yang berbalut kertas disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 1,900 gram.

SUSPEK MENGAMBIL UPAH

Beliau berkata, hasil siasatan dipercayai suspek mengambil upah sebanyak RM500 dari seorang lelaki warganegara jiran untuk membawa masuk dadah ke negara ini.

Katanya, ujian saringan awal ke atas suspek juga positif dadah jenis methapathemine.

Beliau berkata, suspek direman tujuh hari sehingga 25 Ogos ini bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan jika disabit kesalahan.

Ketua Polis Padang Besar memberi amaran kepada mana-mana individu yang terlibat dalam apa jua aktiviti penyeludupan akan diambil tindakan tegas di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.

Polis Padang Besar memohon kerjasama orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah dan dadah di kawasan mereka.

Maklumat boleh disalurkan melalui Hotline Polis Daerah Padang Besar di talian 60-49872222 atau mana-mana Balai Polis berdekatan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *