Aksi ‘wheelie’ 100 meter “King Batu Pahat” berakhir ke perangkap polis

Oleh: Sholina Osman
20 OGOS 2024

‘King Batu Pahat’ terpaksa akur apabila aksi mengangkat tayar hadapan motosikal atau ‘wheelie’ sejauh 100 meter kali ini memakan diri sendiri apabila akhirnya masuk ke perangkap polis.

Pelajar berusia 17 tahun ini telah ditahan pada Operasi Motosikal oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Kangar pada petang, 18 Ogos 2024 di Jalan Batu Pahat, Kangar.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, pelajar berkenaan juga telah disaman dengan 10 kesalahan.

“Ia melibatkan kesalahan tiada lesen memandu, tiada nombor pendaftaran kenderaan, ubahsuai ekzos, tidak pakai topi keledar, tiada cermin pandang belakang, brek gagal berfungsi, ubahsuai struktur/peralatan dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans,” katanya dalam kenyataan media.

HUKUMAN MAKSIMUM PENJARA

Yusharifuddin berkata, pelajar berkenaan juga bakal berhadapan dengan hukuman maksimum penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi daripada RM15,000 jika didapati bersalah.

BSPTD Kangar menasihatkan semua penunggang motosikal untuk menghentikan aktiviti lulba haram yang tidak memberi faedah malah mengancam keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

Ibu bapa dan penjaga juga diseru untuk memantau aktiviti anak-anak dan memastikan yang menunggang motosikal tidak terlibat dalam aktiviti ini.

Ibu bapa dan penjaga juga boleh dikenakan tindakan saman di bawah Seksyen 26 (1)(B) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu membenarkan memandu/menunggang tanpa lesen.

BSPTD Kangar akan sentiasa memantau dari segi rondaan dan risikan ke atas aktiviti yang menganggu kententeraman awam dan yang tidak memberi faedah. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *