PuTERA35 diperkenalkan sebagai langkah proaktif angkat darjat Bumiputera – Rafizi

Oleh: Sholina Osman
19 OGOS 2024

Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) diperkenalkan sebagai
satu langkah proaktif bagi mengangkat darjat dan martabat Bumiputera dengan hala tuju baharu dalam pembangunan ekonomi.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pelan ini menggagaskan tiga teras yang sejajar dengan Ekonomi MADANI iaitu pertama, memperkukuh pasak ekonomi negara; kedua, memperkukuh kerukunan tatakelola dan institusi; dan ketiga, menegakkan keadilan sosial.

Beliau berkata, dengan berpaksikan semangat inklusif, Kerajaan Perpaduan komited untuk memastikan bahawa agenda Bumiputera terus diberi keutamaan dalam setiap perancangan pembangunan sosioekonomi negara.

Rafizi berkata, ini sama sekali, tidak akan menafikan hak kaum lain sebaliknya, mampu memberi kesan manfaat kepada semua kaum dalam aspek pembangunan dan kemajuan negara

PuTERA35 DAPAT DILAKSANAKAN

“Pada kesempatan ini, saya ingin mengajak rakan-rakan Kabinet saya, penjawat awam, pihak swasta serta yang lain untuk bersama-sama berusaha untuk memastikan apa yang diaspirasikan dalam PuTERA35 dapat dilaksanakan dengan jayanya demi kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Transformasi Ekonomi Buniputera 2035 (PuAtera35) di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC) Putrajaya hari ini.

Majlis ini telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan.

Rafizi berkata, PuTERA35 diharap dapat melahirkan generasi Bumiputera yang positif, progresif dan inovatif sekali gus mampu bersaing bukan sahaja di peringkat domestik malah di peringkat antarabangsa.

“Dengan peluncuran ini juga bermakna kita dapat menyempurnakan amanat Perdana Menteri supaya hala tuju dan pendekatan baharu agenda transformasi Bumiputera diketengahkan dalam memperkasakan Bumiputera,” katanya.

Beliau berkata, hasrat Kerajaan untuk mewujudkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera belum tercapai sepenuhnya.

Tambahnya, Perusahaan Bumiputera dilihat mempunyai kurang keupayaan dan kemampuan untuk mencipta nilai dan mengembangkan perniagaan apabila sebahagian besar daripada perusahaan ini bersaiz mikro dan kecil.

PADA PERINGKAT AWAL

Rafizi berkata, keterbatasan modal dan sokongan pada peringkat awal, terutama syarikat pemula, turut menjadi faktor kepada isu ini yang seterusnya menyebabkan kebergantungan berterusan kepada geran dan pembiayaan Kerajaan.

“Dalam syarikat tersenarai awam, Bumiputera hanya mewakili 7 peratus daripada syarikat tersenarai awam sehingga tahun 2022, iaitu 62 syarikat daripada 945 syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia,” katanya.

Rafizi berkata, berdasarkan data tahun 2022, insiden kemiskinan masih tinggi dalam kalangan Bumiputera berbanding kaum lain, yang mana sejumlah 415,400 atau 7.9 peratus isi rumah Bumiputera hidup dalam kancah kemiskinan berbanding 1.9 peratus dalam kalangan kaum Cina dan 5.4 peratus dalam kalangan kaum India.

Katanya, insiden kemiskinan di tiga negeri majoriti Bumiputera iaitu Sabah, Sarawak dan Kelantan melebihi 10 peratus.

Beliau berkata, apa yang lebih mencabar, 37.2 peratus Orang Asli adalah miskin, rentetan daripada peluang sosioekonomi yang terhad.

Dalam pada itu katanya, peluang pekerjaan yang terhad di negeri kurang membangun termasuk di Sabah dan Sarawak merencat penjanaan pendapatan dan mobiliti sosial Bumiputera. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *