Muhyiddin wajar diberi pengajaran yang tegas

Oleh Noraini Nordin
(Ulasan Berita)

19 Ogos 2024

Apapun niatnya
keceluparan Presiden BERSATU Tah Sri Muhyiddin Yassin ‘mengomel-gomel’ budi bicara dan wibawa Yang Dipertuan Agong ke-16, Sultan Abdullah Sultan Ahmad dalam pelantikan Perdana Menteri selepas PRU15 lalu akhirnya mengundang padah.

Apalah lagi yang beliau tidak berpuas hati hingga masih ‘mengomel-gomel’ berkaitan lantikan Perdana Menteri hingga terbawa-bawa hingga ke PRK Nenggiri ?

Akibat tidak ‘move on’ seperti yang dilaporkan dalam media-media tempatan bekas Perdana Menteri itu akan berdepan dengan siasatan polis.

Terdahulu dalam ceramah kempen di PRK Nenggiri baru-baru ini, Muhyiddin mendakwa beliau telah diketepikan untuk menjadi Perdana Menteri, meskipun memiliki sokongan Ahli-Ahli Parlimen yang lebih daripada mencukupi.

“Waktu itu saya memiliki sokongan sejumlah 115 Ahli-Ahli Parlimen, tetapi entah kenapa saya tidak dijemput ke Istana Negara untuk mengangkat sumpah,” demikian dakwanya dalam ceramah tersebut.

Sebagai bekas Perdana Menteri, Muhyiddin seharusnya faham bahawa kuasa melantik Perdana Menteri adalah budi bicara Yang Dipertuan Agong.

Sesiapa (mesti Ahli Parlimen) yang pada hemat baginda dipercayai memiliki sokongan mencukupi, maka pemimpin itulah akan dilantik sebagai Perdana Menteri.

Dakwaan Muhyiddin beliau memiliki sokongan 115 Ahli Parlimen tidak semestinya suatu syarat sah yang mutlak untuk beliau dilantik sebagai Perdana Menteri kerana ketika itu Akta Anti Lompat Parti telah pun dikuatkuasakan di mana Akuan Bersumpah Ahli Parlimen secara individu tidak lagi laku, sebaliknya pendirian yang diterima pakai adalah keputusan parti.

Ertinya jika parti membuat keputusan lain setelah ada Ahli Parlimen parti berkenaan menzahirkan sokongan kepada seseorang, yang diterima ialah ketetapan parti.

Selain mengambil kira pelantikan Perdana Menteri mestilah selaras dengan Akta Anti Lompat Parti, budi bicara Yang Dipertuan Agong pula adalah ketetapan yang tidak boleh dipertikaikan sama sekali.

Muhyiddin seharusnya tahu dan faham mengenai hal ini dan perkara itu sudah termaktub dalam sistem Raja Berperlembagaan yang kita amalkan sejak merdeka.

Oleh itu, adalah amat tidak wajar beliau memperkatakannya lagi isu pelantikan Perdana Menteri itu terbuka, apalagi setelah hampir dua tahun peristiwa tersebut berlaku.

Menjaja cerita itu secara terbuka tidak ubah seperti berterusan ‘mempertikaikan’ wibawa Yang Dipertuan Agong ke-16 dalam menjalankan tugas baginda berdasarkan perlembagaan negara.

29 LAPORAN POLIS

Sehingga ini dilaporkan telah ada 29 laporan polis terhadap Muhyiddin dan Pengerusi PN itu telah ditetapkan untuk memberi keterangan kepada pihak polis esok (Selasa).

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Ibrahim Alam Shah selain murka dengan kenyataan Muhyiddin itu, baginda juga mahu pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.

Pelbagai pihak lain juga turut mahukan Muhyiddin diambil tindakan atas kenyataan beliau yang tidak sepatutnya itu.

Demi mempertahankan kedudukan Raja-Raja Melayu dan sistem Raja Berperlembagan yang menjadi amalan negara kita, Muhyiddin tidak harus terlepas daripada tindakan atas perbuatannya itu.

Ia harus menjadi pengajaran bukan saja kepada Muhyiddin, tetapi juga kepada kita semua yang mencintai kedamaian hidup dalam sebuah negara bernama Malaysia.


Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *