KPDN sekat akses 4,324 laman web sejak 2018 – Armizan

Oleh: Sholina Osman
17 OGOS 2024

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melaksanakan tindakan menghalang akses ke atas 4,324 laman web kerana pelbagai kesalahan sejak tahun 2018 hingga 15 Ogos 2024.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, akses ke laman web ini disekat kerana ia berkaitan penjualan barangan tiruan, pengedaran karya cetak rompak seperti filem dan perisian komputer serta penawaran jualan langsung yang berunsurkan skim piramid.

“Ia adalah hasil kerjasama rapat KPDN dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan penyedia perkhidmatan internet (ISP) dalam memantau promosi dan pengiklanan perniagaan yang melibatkan transaksi secara dalam talian,” katanya dalam kenyataan media.

Armizan berkata, dalam tempoh yang sama KPDN juga telah bekerjasama dengan penyedia platform e-dagang untuk menurunkan sebanyak 3,408 iklan.

PENJUALAN BARANG TIRUAN

“Antara kesalahan yang berkaitan adalah penjualan barang kawalan melebihi harga yang diwartakan, penjualan barangan tiruan, penggunaan perkataan “no palm oil” ke atas produk jualan tertentu,” katanya.

Beliau berkata, KPDN akan terus memperkasa kerjasama dengan agensi-agensi berkaitan seperti MCMC dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta ISP dan penyedia platform e-dagang bagi memastikan kesalahan urus niaga dalam talian ini dapat dibanteras daripada terus berleluasa.

Katanya, ini penting untuk melindungi kepentingan pengguna dan sekali gus mewujudkan persekitaran perdagangan dalam negeri yang sihat dan progresif.

Jelasnya, ini bersesuaian dengan kefungsian KPDN untuk menguatkuasakan perundangan berkaitan seperti Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599), Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), Akta Perdagangan Elektronik 2006 (Akta 658) dan Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urusniaga Perdagangan Elektronik) 2012. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *