Oleh: Sholina Osman
16 OGOS 2024
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah merekodkan rampasan berjumlah RM74.85 juta menerusi OPS TIRIS 3.0, bagi tempoh 1 Januari 2024 hingga 16 Ogos 2024.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, nilai rampasan itu berdasarkan dari 1,900 kes hasil pemeriksaan ke atas 27,971 premis di seluruh negara.
Beliau berkata, daripada 1900 kes yang dicatatkan di bawah OPS TIRIS 3.0 itu, sebanyak 127 kes melibatkan gas petroleum cecair (LPG) telah direkodkan di seluruh negara dengan nilai rampasan berjumlah RM748,549.40.
“Seramai 469 individu juga telah ditahan dalam tempoh tersebut,” katanya dalam kenyataan media.
ADUAN ORANG RAMAI
Armizan berkata, melalui aduan orang awam, penguat kuasa KPDN telah menyerbu sebuah premis tanpa nama di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan yang disyaki menjadi stor haram tempat menyimpan dan mengedar LPG.
“Hasil pemeriksaan ke atas premis tersebut, penguat kuasa telah menemui sejumlah 186 unit tong gas pelbagai jenama berkapasiti 14kg dan 50kg, alat timbang elektronik, paip getah penyambung yang dipercayai digunakan dalam aktiviti decanting,” katanya.
Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM33,130.
Tambahnya, semakan lanjut juga mendapati premis tersebut tidak mempunyai dokumen yang sah untuk menjalankan urusniaga berkaitan barang kawalan.
MENGENAL PASTI INDIVIDU
Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] bagi mengenal pasti individu/syarikat lain yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran LPG tersebut.
Selain itu, syarikat tersebut juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613].
Siasatan akan melibatkan aspek kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita dan perlucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan gas petroleum cecair.
Di bawah Akta 122, bagi orang perseorangan yang disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000.00 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000.00 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua- duanya sekali.
Manakala bagi syarikat, sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000.00 manakala bagi kesalahan berikutnya denda tidak melebihi RM5,000,000.00.
Bagi Akta 613 pula, individu atau syarikat yang disabitkan kesalahan, boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima belas (15) tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana yang lebih tinggi. – JM