NAIK GAJI – penjawat awam wajar tunjuk komitmen kerja yang lebih cemerlang bersama PMX

Oleh Noraini Nordin
(Ulasan Berita)

17 Ogos 2024

Apa lagi penjawat awam mahukan , segala yang terbaik termasuk pelbagai kemudahan yang dinikmati telah diberikan oleh PMX kepada mereka.

Begitulah ulasan spontan yang kedengaran sebaik sahaja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan gaji untuk kakitangan awam semalam.

Khabar gembira yang sewajarnya disambut oleh penjawat awam dengan menunjukkan komitmen yang lebih tinggi, berdisplin , gigih , setia serta beramanah menjalankan tugas.

Pastinya harapan kita mahu melihat penjawat awam bersama-sama PMX memacu Malaysia Madani dengan lebih cemerlang demi kesejahteraan negara yang tercinta.

KENAIKAN GAJI 1.6 JUTA PENJAWAT AWAM

Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam memberi khabar gembira kepada kira-kira 1.6 juta penjawat awam di negara ini.

Khabar gembira itu ialah mengumumkan kenaikan gaji antara 7 peratus hingga 15 peratus kepada mereka bermula 1 Disember depan.

Kenaikan gaji yang diberi ialah sebanyak 15 peratus untuk pegawai Kumpulan Pelaksana, Kumpulan Pengurusan dan Profesional, manakala 7 peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi.

Kenaikan gaji itu akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Disember 2024 bagi Fasa 1 dan Fasa 2 pada 1 Januari 2026.

12 TAHUN TIDAK DILAKUKAN SEMAKAN

Setelah 12 tahun tidak dilakukan semakan, pengumuman Anwar semalam tentunya suatu berita baik buat penjawat awam dan keluarga mereka.

Sebagai golongan yang berperanan besar kepada rakyat dan negara melalui pelbagai fungsi untuk memastikan hubungan antara rakyat dan negara sentiasa terjalin, terbukti kini mereka adalah golongan yang dihargai oleh Perdana Menteri.

Mereka kini boleh menarik nafas lega untuk merancang pelbagai perkara dalam kehidupan dan seterusnya memberi sumbangan yang terbaik secara berterusan kepada rakyat dan negara.

Kenaikan gaji penjawat awam ini juga tentunya disambut gembira oleh seluruh rakyat kerana ia memberi kesan yang berangkai kepada semua golongan.

Selain keluarga tumpang gembira, pelbagai sektor perniagaan juga akan turut berkembang dengan kenaikan gaji penjawat awam ini.

Ini sekaligus bermakna akan merancakkan lagi kitaran ekonomi negara kita.

Dengan kemurahan hati PMX semoga penjawat awam bekerja dengan lebih rajin , setia serta amanah.


Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *