Oleh Noraini Nordin
(Sorotan PRK Nenggiri)
18 Ogos 2024
Pengakhiran yang amat manis untuk PRK DUN Nenggiri apabila pengundi memilih
calon Perpaduan Mohd Azmawi Fitri Abdul Ghani sebagai wakil rakyat baharu mereka.
Pengundi Nenggiri menunjuk kebijaksanaan memilih wakil rakyat dari Kerajaan Perpaduan yang diyakini memberi sinar baharu mensejahterakan kehidupan mereka supaya tidak lagi tercicir dari arus pembangunan.
Segala penat lelah mengharungi perjalanan kempen dari desa ke desa yang berbukit bukau berbaloi dengan kemenangan Mohd Asmawi yang bergaya.
Mohd Asmawi atau panggilan mesranya Awie berjaya memenangi PRK Dun Nenggiri dengan majoriti 3,352 undi.
Beliau memperoleh 9,091 undi berbanding 5,739 undi diperoleh calon PN, Rizwadi Ismail.
KEJAYAAN YANG MEMBANGGAKAN PERPADUAN
Kejayaan ini adalah sesuatu yang amat membanggakan kerana Barisan Nasional sebelum ini kalah sebanyak 810 undi pada PRN 2023 yang lalu.
Kejayaan menukar daripada kekalahan 810 undi kepada kemenangan 3,352 bukanlah sesuatu yang mudah, tambahan lagi PN yang ditunjangi Pas adalah merupakan parti yang mentadbir negeri Kelantan ketika ini.
Kemenangan calon Perpaduan (BN) tentu saja melalui kerja keras, berusaha tanpa jemu dan kerja berpasukan, baik sesama UMNO mahu pun dalam kalangan jentera parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.
Strategi kempen yang luar dari kebiasaan yang tidak perlu ceramah-ceramah mega amat berkesan di Nenggiri.
Penerangan isu-isu semasa serta promosi calon Perpaduan dibuat dari rumah ke rumah dengan lebih bersasar.
Dan pastinya pengundi Nenggiri menolak fitnah dan bencikan pemimpin-pemimpin kaki fitnah yang cuba memperbodohkan mereka sepanjang kempen berlangsung.
TANDA KERAJAAN PERPADUAN DITERIMA RAKYAT
Kemenangan di Nenggiri juga dengan sendirinya menandakan Kerajaan Perpaduan ini masih diterima oleh pengundi-pengundi di negara ini.
Menang di Nenggiri ini adalah isyarat bahawa Kerajaan Perpaduan ini perlu dipertahankan serta dikekalkan lagi, sambil beberapa kelemahan yang disedari perlu segera diatasi.
Jika ini dapat dilakukan, pasti Kerajaan Perpaduan mampu terus bertahan zaman berzaman.
Malah UMNO yang akan mengadakan Perhimpunan Agungnya pada 21 -24 Ogos ini pasti tambah bersemangat lagi meneruskan perjuangannya.
Ini kerana Nenggiri adalah satu-satu kerusi yang berpindah tangan selepas PRU15 dan PRN yang lalu.
Gandingan BN dan PH, jika diperkemaskan dan dibuat penambahbaikkan lagi tidak mustahil mampu mencipta lebih banyak kejayaan selepas ini.
Tahniah kepada semua jentera perpaduan yang telah bekerjasama menyumbang kejayaan di Nenggiri.
Tahniah kepada YB Awie . Selamat menjalankan tugas dengan cemerlang.
Tahniah kepada pengundi Nenggiri .
Kalian pengundi bijak yang boleh membezakan antara pemimpin kaca dengan pemimpin permata.
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat