KPDN perkasa kerjasama pasar raya besar bagi pengantarabangsaan barangan Malaysia

Oleh: Sholina Osman
15 OGOS 2024

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperkasa kerjasama dengan rangkaian pasar raya besar bagi tujuan pengantarabangsaan barangan Malaysia ke pasaran luar negara pada tahun 2024.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, bagi tujuan itu pasar raya besar itu akan melibatkan empat negara iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE), Thailand, Jepun dan juga China.

“Sekaligus ini akan memberi peluang kita membawa produk tempatan untuk dipasarkan di pasar raya di negara berkenaan,” katanya dalam kenyataan media sempena Majlis Perasmian Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2024 Peringkat Lotus’s Malaysia di Setia Alam, Selangor.

Armizan berkata, pasar raya Lotus merupakan salah satu daripada 16 syarikat peruncitan utama dan tiga pengendali platform dalam talian yang terlibat dalam KBBM.

PENINGKATAN NILAI JUALAN

“Pada tahun 2023, pasar raya Lotus’s Malaysia telah berjaya mencatatkan peningkatan nilai jualan barangan tempatan berjumlah RM40.60 juta, berbanding RM40.16 juta bagi tahun 2022 dan RM34.63 juta pada tahun 2021,” katanya.

Beliau berkata, bilangan Stock Keeping Unit (SKU) barangan tempatan juga telah meningkat kepada 2,009 pada tahun 2023 berbanding 1,687 bagi tahun 2022 dan 1,633 pada tahun 2021.

Dalam usaha melonjakkan keupayaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang menghasilkan barangan tempatan melalui KBBM, katanya KPDN turut menyediakan pelbagai program pembangunan, antaranya Program Latihan Pembangunan Perniagaan, Program Padanan Perniagaan dan Penandaan Logo Barangan Malaysia.

Beliau berkata, program ini memberi tumpuan dan bimbingan terhadap peningkatan kemahiran dan pertumbuhan perniagaan PMKS tempatan.

PLATFORM DALAM TALIAN

Pada masa yang sama
katanya, KPDN menggalakkan pengusaha tempatan untuk menggunakan platform dalam talian bagi mempromosi, memasarkan dan sekali gus melonjakkan nilai jualan produk-produk mereka.

“Ini mengambil kira trend kepenggunaan global yang memperlihatkan peningkatan
kecenderungan pembelian barangan secara dalam talian,” katanya.

Beliau memberi contoh kajian Voice of Consumer Survey 2024: Asia Pacific mendapati pengguna sudah beralih kepada platform pembelian secara dalam talian berbanding pembelian secara konvensional di kedai fizikal.

“Berdasarkan kajian tersebut, mendapati 36 peratus responden menggunakan telefon pintar, 16 peratus menggunakan komputer dan 13 peratus lagi menggunakan tablet,” katanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *