Oleh Noraini Nordin
(Sorotan PRK Nenggiri)
16 Ogos 2024
Menjelang pengundian PRK Dun Nenggiri esok, parti mana yang bakal meraih kemenangan mula menjadi perbualan di sana sini.
Setiap calon menggunakan masa yang bersisa kurang daripada 10 jam terakhir ini menyantuni pengundi seramai mungkin.
Cabaran di Nenggiri adalah bentuk muka bumi yang berbukit bukau, kampung tradisional dan kampung orang Asli (orang asal) jauh di pedalaman. Untuk tiba dari satu kampung mengambil masa serta menuntut kesabaran yang tinggi.
Hanya calon yang berjiwa kental, displin tinggi serta gigih sahaja dapat menyantuni pengundi demi meraih kemenangan.
Daripada segi kempen, penulis menyaksikan gerak kerja pengurusan jentera Perpaduan bagi DUN Nenggiri amat tersusun serta bersasar.
Pasukan Perpaduan bekerja keras sebelum hari penamaan calon lagi serta pemimpin-pemimpin turun padang silih berganti.
Bahkan, semakin dekat hari mengundi keagresifan kempen dipertingkatkan .
Di atas kertas dan berdasarkan tinjauan yang penulis lakukan sendiri, penulis dapati peluang calon Perpaduan iaitu Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mencipta kemenangan amat terbuka sekali.
Semangat juang yang tinggi Mohd Azmawi atau lebih mesra dengan panggilan Awie terus konsisten sejak sebelum hari penamaan calon lagi.
Ke mana saja pasukan kempen Kerajaan Perpaduan turun untuk membantu Awie, sambutan yang diterima amat baik sekali.
Baik orang kampung, peneroka Felda, warga Kesedar, orang asli dan lain-lainnya, semuanya menerima baik kedatangan kami berkempen dan memberi layanan yang mesra.
Apa-apa penerangan dan penjelasan berkaitan Kerajaan Perpaduan juga mudah mereka terima.
Hakikatnya pengundi Nenggiri faham bahawa memilih calon mewakili kerajaan pusat adalah lebih bermanfaat berbanding calon mewakili kerajaan negeri.
Contohnya dalam isu mesin ATM yang diperlukan penduduk, hanya beberapa hari selepas calon Perpaduan bersuara mengenainya, ia kini sudah pun menjadi kenyataan.
Ertinya, jika wakil rakyat yang selari dengan kerajaan pusat menjadi wakil di Nenggiri, banyak lagi faedah boleh mereka perolehi.
Selain itu, calon Perpaduan juga ada kelebihan di sisi pengundi kerana beliau sebelum ini adalah pegawai khas kepada Adun Nenggiri, Ab Aziz Yusof yang tewas kepada Mohd Azizi Abu Naim pada PRN 2023 lalu.
Ini menjadikan beliau amat dikenali dan tidak kekok bergaul dengan pengundi.
Faktor lain yang memungkinkan kemenangan ialah kerana kerja keras jentera Perpaduan sendiri yang tidak pernah lelah dalam menyantuni pengundi.
Presiden UMNO, Zahid Hamidi dan lain-lain pemimpin UMNO boleh dikata sentiasa ada di Nenggiri sejak hari penamaan calon.
Pasukan kempen PH juga tidak kurang memainkan peranan membantu di mana yang perlu.
Setiausaha Agung KEADILAN Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sendiri turun padang membantu calon Perpaduan.
PASUKAN WANITA KEADILAN TURUN PADANG
Begitu juga pasukan jentera Wanita KEADILAN negeri dan pimpinan pusat turut sama-sama mengaktifkan kempen membantu calon Perpaduan.
Pendeknya, kepaduan jentera kempen BN dan PH ini melambangkan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk terus berkhidmat kepada penduduk Nenggiri.
Esok, semoga semua kerja keras ini Insya Allah akan menjadi kenyataan.
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat