Oleh: Sholina Osman
14 OGOS 2024
Kerajaan telah menetapkan sasaran menerusi Dasar Pengangkutan Negara 2019 – 2030 untuk mencapai 40 peratus penggunaan pengangkutan awam menjelang tahun 2030.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, bagi mencapai sasaran ini, Kementerian Ekonomi bersama Kementerian Pengangkutan telah menjalankan satu bengkel strategik pada 17 Mei 2024.
“Ia bagi mengenal pasti pelaburan utama yang diperlukan untuk meningkatkan dan memperluaskan rangkaian pengangkutan awam,” katanya dalam kenyataan media.
Sehubungan itu Rafizi berkata, pelan komprehensif sedang dibangunkan, merangkumi strategi pelaburan dan pelan pelaksanaan yang menyeluruh.
Beliau berkata, pelan ini telah dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada 1 Julai 2024.
Rafizi berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan peningkatan tiga aspek utama dalam pengangkutan awam: perkhidmatan bas, rangkaian rel, dan ketersambungan ‘first and last mile’ yang bersepadu.
“Untuk perkhidmatan bas, usaha akan meliputi pengembangan ketersambungan dan liputan, peningkatan ketersediaan dan konsistensi, serta memperkenalkan lorong khas bas bersama sistem Kuala Lumpur Autonomous Rail Transit (KL ART) dan Bus Rapid Transit (BRT),” katanya.
Selain itu, katanya, rangkaian rel akan juga diperluas untuk meningkatkan perkhidmatan dan mempertingkatkan pengalaman penumpang.
Beliau berkata, kerajaan akan menaik taraf hentian bas, laluan pejalan kaki, serta memperkenalkan Demand-Responsive Transit (DRT), perancang perjalanan bersepadu, dan pilihan mikromobiliti bagi memastikan ketersambungan yang lebih lancar dan cekap.
“Bagi mencapai 80 peratus penggunaan landasan keretapi di Semenanjung Malaysia menjelang tahun 2030, Kerajaan merangka rancangan untuk meningkatkan perkhidmatan tren penumpang di Malaysia secara berfasa antara 2024 hingga 2030 dan mensasarkan jumlah tren penumpang yang beroperasi di seluruh negara mencapai 299 tren penumpang,” katanya.
“Inisiatif-inisiatif yang telah dikenal pasti dalam pelan ini akan dilaksanakan secara berperingkat, memastikan pendekatan yang teratur, selaras dengan matlamat ekonomi dan pembangunan negara,” katanya.
Beliau berkata, usaha ini akan menjadi salah satu tumpuan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang akan diperkenalkan pada tahun hadapan.
Tambahnya, sistem pengangkutan awam yang cekap bukan sahaja penting untuk mengurangkan kesesakan dan meningkatkan kelestarian alam sekitar, tetapi ia juga merupakan pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi. – JM