Oleh: Sholina Osman
13 OGOS 2024
Seorang anggota Pasukan Gerak Am (PGA) cedera setelah motosikal dinaiki terbabas semasa mengejar suspek yang dipercayai membawa tiga kilogram dadah jenis ganja di kawasan Ladang Chuping, Padang Besar, Perlis.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, dalam kejadian pada pukul 8.30 malam, 11 Ogos 2024 itu telah menyebabkan anggota dari Cawangan Risik Batalion 1, PGA Ulu Kinta, Perak ini mengalami kecederaan pada bahagian muka, lutut dan juga siku.
“Dalam kejadian itu, beliau bersama dengan seorang rakan sejawat telah melakukan pemantauan di kawasan berkenaan dengan menaiki motosikal,” katanya dalam kenyataan media.
Mohd Shokri berkata, dua anggota berkenaan telah terserempak dengan dua individu yang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.
SUSPEK MELARIKAN DIRI
Beliau berkata, kedua suspek kemudiannya melarikan diri setelah menyedari dikejar oleh dua anggota berkenaan.
“Dalam masa yang sama, salah seorang suspek telah membuang satu objek ke dalam semak berhampiran di kawasan kejadian,” katanya.
Beliau berkata, ketika adegan kejar mengejar itu telah menyebabkan motosikal yang ditunggang oleh salah seorang anggota telah hilang kawalan lalu terbabas, manakala suspek pula terus menghilangkan diri.
Katanya, hasil pemeriksaan ke atas objek yang dibuang oleh suspek itu, adalah sebuah beg galas berwarna hitam/merah yang didalamnya terkandung sebuah beg plastik warna hitam tertulis “fragile”.
“Setelah dibuka, didalamnya terdapat tiga ketulan mampat yang dibalut dengan aluminium foil berwarna emas di mana mengandungi tumbuhan hijau disyaki ganja dalam anggaran seberat tiga kilogram,” katanya.
MENGGUNAKAN LALUAN TIKUS
Mohd Shokri berkata, siasatan awal mendapati dadah jenis ganja itu dipercayai dibawa masuk ke negara ini menggunakan laluan tikus di sempadan Malaysia-Thailand, Padang Besar.
Beliau berkata, rampasan dadah jenis ganja dalam anggaran tiga kilogram ini bernilai RM9,300.00 yang boleh digunakan oleh 3,000 penagih.
Mohd Shokri berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan jika sabit kesalahan membawa hukum gantung sehingga mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum gantung dikenakan tidak kurang dari 12 sebatan.
Ketua Polis Daerah Padang Besar juga memberi amaran kepada mana-mana individu yang terlibat dalam apa juga aktiviti penyeludupan akan diambil tindakan tegas di bawah peruntukan sedia ada.
Orang ramai dimohon terus menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah dan dadah di kawasan mereka.
Maklumat boleh disalurkan melalui Hotline Polis Padang Besar di talian 60-49872222 atau mana-mana Balai Polis berdekatan. – JM