434,580 pengguna memuat naik aplikasi Price Catcher – Fauziah

Oleh: Sholina Osman
11 OGOS 2024

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menerima sejumlah 434,580 pengguna yang telah memuat naik aplikasi Price Catcher sehingga 9 Ogos 2024.

Timbalan Menterinya, Fauziah Salleh berkata, ini adalah usaha Kementerian untuk menggalakkan pengguna merancang perbelanjaan dengan bijak dan memilih premis yang menawarkan harga berpatutan selain menggalakkan para peniaga beretika dalam meletakkan harga yang munasabah.

Melalui aplikasi ini katanya, pengguna boleh membuat perbandingan harga enam kategori barangan yang dipantau iaitu barangan segar, barangan kering, barangan berbungkus, susu dan barangan bayi, produk kebersihan serta minuman dengan mudah.

BOLEH MEMBUAT ADUAN

Beliau berkata, jika dikesan berlaku aktiviti kenaikan mendadak ke atas barangan tertentu, pengguna boleh membuat aduan melalui saluran-saluran yang disediakan.

“Aplikasi Price Catcher yang dibangunkan oleh KPDN ini memaparkan harga 480 barangan terpilih di pasar basah, pasar raya besar, pasar raya, pasar mini dan kedai runcit yang dipantau,” katanya dalam kenyataan media.

Fuziah juga telah mengadakan sesi dialog bersama dengan Persatuan Kebajikan Wanita, Tunggal dan Warga Emas (PERWATIE ) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengenai Kesedaran Hak Sebagai Pengguna.

Beliau berkata, KPDN melalui fokus Daya Upaya dan Advokasi Kepenggunaan telah melaksanakan advokasi melalui penyampaian pendidikan, penyelesaian pertikaian, dan penguatkuasaan berkaitan kepenggunaan merangkumi pelbagai peringkat masyarakat bermula di sekolah, universiti dan orang awam untuk memberi kesedaran dan perlindungan mengenai hak mereka sebagai pengguna.

BERKAITAN PELINDUNGAN PENGGUNA

Selain daripada penguatkuasaan kepenggunaan katanya KPDN baru-baru ini turut melaksanakan penambahbaikan terhadap kerangka perundangan berkaitan perlindungan pengguna seperti pewujudan Lemon Law iaitu undang-undang yang menyediakan hak tebus rugi (redness) kepada pembeli kenderaan bermotor dan barangan pengguna lain untuk mendapatkan remedi terhadap produk yang berulang kali rosak dan gagal memenuhi standard kualiti dan prestasi.

“Usaha ini adalah sebahagian daripada inisiatif pelaksanaan reformasi undang-undang bagi mewujudkan kerangka perundangan perlindungan pengguna yang lebih
komprehensif sejajar dengan tuntutan semasa,” katanya.

Selain itu, katanya, penambahbaikan Dasar Pengguna Negara dan semakan semula perundangan e-dagang sedang diperhalusi untuk memantapkan tadbir urus sektor e-dagang di Malaysia. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *