Oleh: Sholina Osman
7 OGOS 2024
Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang baharu mulai berkuat kuasa pada 12 Ogos 2024.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan media hari ini memaklumkan, pelantikan itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Ia bagi menggantikan Tan Sri Mohd Zuki Ali yang akan menamatkan kontrak perkhidmatan pada 10 Ogos 2024.
Shamsul Azri, 55 berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Pentadbiran Perniagaan) University of Tulsa, Oklahoma, Amerika Syarikat.
Beliau juga menerima pendedahan dengan beberapa institusi antarabangsa antaranya University of Cambridge, United Kingdom dan European Institute of Administration (NSEAD).
SELAMA 30 TAHUN
Shamsul Azri juga berpengalaman selama 30 tahun dalam perkhidmatan awam.
Antaranya pernah bertugas di Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam dan juga pentadbiran kerajaan negeri.
Jawatan terakhir beliau adalah sebagai Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Sementara itu, Kerajaan juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Mohd Zuki atas segala khidmat bakti beliau sepanjang tempoh memegang jawatan sebagai KSN.
Khususnya dalam usaha -usaha mengukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan awam dengan memperkenalkan pelbagai pembaharuan demi memastikan agenda pembangunan negara dilaksanakan dengan jayanya. – JM