Oleh: Sholina Osman
6 OGOS 2024
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mendapati jumlah kes yang melibatkan isu pencatutan adalah kecil dan terkawal di sepanjang tempoh dua bulan fasa awal pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ini membuktikan tahap pematuhan dalam kalangan sebahagian besar peniaga adalah baik.
“KPDN menghargai komitmen komuniti perniagaan yang secara keseluruhannya tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan dan perkhidmatan pasca penyasaran subsidi diesel,” katanya dalam kenyataan media.
Armizan berkata, OPS KESAN 2.0 telah mula dilaksanakan sejak 8 Jun 2024, iaitu sebelum pelaksanaan penyasaran subsidi diesel pada 10 Jun yang lalu.
Beliau berkata, sehingga 4 Ogos 2024, KPDN telah membuat pemeriksaan terhadap 24,666 premis perniagaan di seluruh Malaysia.
KENAIKAN HARGA BARANG
Armizan berkata, dalam tempoh tersebut, KPDN juga telah menerima 83 aduan awam yang terkait isu kenaikan harga barang dan perkhidmatan pasca penyasaran subsidi diesel.
Manakala sebanyak 244 notis bertulis telah dikeluarkan oleh Bahagian Penguat Kuasa KPDN di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP).
“Daripada jumlah tersebut, setakat ini sebanyak 10 kertas siasatan telah dibuka untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.
Pada masa yang sama
katanya, KPDN akan terus memperkasa pemantauan di semua peringkat melalui OPS KESAN 2.0 dan maklum balas awam adalah amat dialu-alukan. – JM