Hubungan akrab Anwar , Srettha cipta limpahan kemakmuran baru rakyat dua negara

Oleh Noraini Nordin
(Ulasan Berita)

7 Ogos 2024

Menyusuri dairi tugasan PMX minggu lalu pasti kita dapat menyaksikan lagi betapa gigihnya beliau bekerja demi memakmurkan Malaysia Madani.

Setiap langkah beliau adalah untuk memberi manafaat kepada rakyat negara ini.

Terbaru , Datuk Seri Anwar Ibrahim memanafatkan hubungan akrab dengan Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin untuk menyegerakan projek pembinaan jambatan kedua Rantau Panjang Golok .
Selain itu kata sepakat juga diambil oleh PMX dan PM Srettha untuk menambah baik jambatan sedia ada yang telah dibina lebih 50 tahun lalu.

Pembinaan jambatan tersebut pastinya dapat merancakkan lagi sosial ekonomi rakyat dua negara khasnya komuniti setempat.

Hakikat yang tidak boleh dinafikan bahawa nikmat yang melimpah ruah sudah pasti turut diterima oleh negeri Kelantan khasnya serta penduduk Selatan Thailand.

Mengimbas lawatan PMX pada 3 Ogos lalu – beliau telah mengadakan lawatan kerja ke kawasan sempadan Malaysia – Thailand bersama Perdana Menteri Srettha Thavisin.

Mereka bertemu dalam program lawatan kerja bersama ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Sungai Golok, Rantau Panjang.

Dalam perbincangan dengan Srettha, kedua-dua pemimpin berbicara panjang berkaitan beberapa isu tertangguh melibatkan Malaysia dan Thailand.

Antara kesepakatan dicapai kemudiannya adalah menyegerakan projek pembinaan jambatan kedua Rantau Panjang-Sungai Golok serta menambah baik jambatan sedia ada yang telah dibina lebih 50 tahun lalu.

Pembinaan jambatan kedua itu bukan sahaja penting untuk memudahkan lagi pergerakan rakyat kedua-dua negara, tetapi juga penting untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.

JAMBATAN KEDUA PEMANGKIN EKONOMI

Dengan adanya jambatan kedua itu, kawasan sekitarnya sudah pasti akan turut membangun dengan pelbagai kegiatan ekonomi juga bercambah dengan sendirinya.

Di sinilah pentingnya pembinaan jambatan kedua dan di sinilah bagaimana Anwar melihat kepentingan ekonomi daripada pembinaan jambatan kedua itu.

Dalam catatan di Facebooknya, Anwar seterusnya berkata, pembinaan jambatan itu bakal merancakkan kesalinghubungan kedua-dua negara serta memangkin pembangunan ekonomi di utara Kelantan dan Selatan Thailand, langsung mencipta limpahan kemakmuran buat rakyat di kedua-dua kawasan.

“Saya dan Srettha turut mencapai kesepakatan untuk melaksanakan projek memperdalamkan muara Sungai Golok bagi mengatasi isu limpahan air sungai yang menjadi antara punca banjir di Kelantan dan Narathiwat.

“Persefahaman ini menggambarkan komitmen jelas Kerajaan Malaysia dan Thailand untuk memastikan pertumbuhan ekonomi di sempadan kedua-dua negara berjalan pantas, sekali gus memberi laluan kepada usaha perdamaian di Selatan Thailand dan pembangunan di utara Semenanjung,” tegasnya.

PMX TIDAK PILIH BULU

Di waktu yang sama, dalam lawatan yang turut disertai Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, Anwar tidak lupa mengajak pentadbiran Kelantan untuk sama-sama mengambil peluang daripada projek yang diwujudkan itu dengan membina lebih banyak ruang-ruang perniagaan baharu yang selesa di kawasan sempadan Rantau Panjang.

Di sebalik Kelantan ditadbir oleh Pas, Perdana Menteri nampaknya tidak memilih bulu atau menganak-tirikan mana-mana rakyat dalam agenda pembangunan negara ini.

Yang nyata, Anwar membuktikan beliau adalah Perdana Menteri untuk seluruh rakyat Malaysia.


Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *