Populasi Kuala Lumpur kini lebih 8.8 juta orang

Oleh: Sholina Osman
7 OGOS 2024

Bandaraya Kuala Lumpur kini menampung populasi yang dianggarkan melebihi 8.8 juta orang, dengan peningkatan tahunan sebanyak 2.25 peratus berbanding tahun 2023.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, menjelang tahun 2030, populasi ini dijangka akan terus bertambah mencecah 9.8 juta.

Beliau berkata, pertumbuhan yang pesat ini menuntut Kerajaan, khususnya melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), perlu untuk menjadi lebih proaktif dalam perancangan dan penyediaan infrastruktur,” katanya.

Dr Zaliha berkata, pertumbuhan populasi ini bukan sahaja melibatkan peningkatan semula jadi dalam kawasan bandar, malah juga migrasi masuk yang tinggi dari luar bandar.

MEMBERIKAN SATU TEKANAN

“Ini memberikan satu tekanan kepada infrastruktur sedia ada dan menuntut supaya kita menyediakan satu perkhidmatan asas yang lebih baik buat semua warga kota agar Kuala Lumpur ini menjadi sebuah bandar yang berdaya huni,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis pelancaran Garis Panduan Perancangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2024 di Menara DBKL, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Dr Zaliha berkata, Garis Panduan ini bukan sekadar dokumen semata-mata, tetapi ia adalah bukti nyata bahawa DBKL sedang menganjak ke arah pengurusan bandar yang lebih berdaya saing dan inovatif dalam memastikan pembangunan bandar raya Kuala Lumpur menjadi lebih lestari dan selaras dengan keperluan masa kini.

AMALAN TATA KELOLA

Katanya, kesemua 10 Garis Panduan ini juga adalah untuk memastikan amalan tata kelola yang baik diamalkan di DBKL.

Dengan adanya panduan yang jelas dan telus seperti ini katanya, setiap langkah perancangan dan pelaksanaan pembangunan akan dapat dipantau dengan lebih efektif, selain menilai tahap keberkesanan sesuatu polisi dan strategi yang dilaksanakan serta mempromosikan penambahbaikan yang berterusan.

“Tata kelola yang baik bermaksud kita mengamalkan prinsip-prinsip keterbukaan, akauntabiliti dan integriti dalam setiap keputusan yang dibuat,” katanya.

Beliau berkata, perkara ini penting dalam memastikan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap DBKL terus terpelihara. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *