Oleh: Sholina Osman
8 OGOS 2024
Polis Padang Besar berjaya mematahkan dua cubaan seludup iaitu sebuah kenderaan Toyota Hilux yang dicuri di Kampar, Perak dan minyak masak bersubsidi di dalam van dipandu warga asing pada 6 dan 7 Ogos 2024.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner, Mohd Shokri Abdullah berkata, bagi kes pertama ia berkaitan pemilik pikap Toyota Hilux warna perak telah membuat laporan kehilangan kenderaannya pada 6 Ogos 2024 di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kampar, Perak.
Dalam kenyataan media, Mohd Shokri berkata, pada hari yang sama juga pada pukul lebih kurang 11 pagi, IPD Padang Besar telah menerima maklumat berhubung kecurian kenderaan ini yang difahamkan sedang bergerak ke utara Semenanjung.
Berikutan itu katanya, IPD Padang Besar menghubungi Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis dan Kedah berkaitan perkara ini.
“Pada masa yang sama IPD Padang Besar telah menggerakkan elemen-elemen dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) dan juga barisan hadapan iaitu MPV dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di mana pintu sempadan telah kawal ketat,” katanya.
KERJASAMA JUGA DIPEROLEH
Beliau berkata, kerjasama juga diperoleh dari Jabatan Siasatan Jenayah IPK Perlis, IPD Arau dan juga IPD Kangar.
“Pada pukul lebih kurang 2.40 petang, pikap itu telah dikesan berada di Shell Titi Tinggi, Padang Besar oleh pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Perlis,” katanya.
Hasil serbuan, katanya, seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun yang didapati mempunyai 10 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah telah ditahan.
Beliau berkata, lelaki berkenaan yang positif dadah jenis methapathemine itu didapati telah menukar nombor pendaftaran palsu pada pikap berkenaan.
Katanya, suspek dan rampasan telah diserahkan kepada IPD Kampar, Perak untuk tindakan selanjutnya.
KEADAAN YANG MENCURIGAKAN
Bagi kes kedua pula, Mohd Shokri berkata, sebuah van Totoya Commuter warna perak bernombor pendaftaran Thailand telah ditahan apabila dilihat dalam keadaan yang mencurigakan pada pukul 8.30 pagi, pada 7 Ogos 2024.
Katanya, van yang dipandu warga asing berusia 23 tahun ini telah ditahan semasa Sekatan Jalan Raya (SJR) di jalan utama Padang Besar yang menuju ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar.
“Pemeriksaan lanjut telah membawa kepada penemuan tujuh beg plastik pelbagai warna yang didalamnya diletakkan 60 paket (60 kilogram) minyak masak bersubsidi pelbagai jenama pada ruang tempat duduk belakang,” katanya.
Mohd Shokri berkata, siasatan lanjut mendapati suspek yang merupakan seorang peniaga telah membeli minyak itu dari luar Perlis untuk dibawa ke Thailand.
Katanya, suspek juga gagal menunjukkan sebarang dokumen yang sah bagi pemilikan minyak masak bersubsidi.
Beliau berkata, hasil rampasan ini membabitkan minyak masak bernilai RM150.00 dan kenderaan RM90,018.00 dengan kesemua berjumlah RM90,168.00.
Mohd Shokri berkata, suspek dan rampasan barang kes diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis bagi tindakan lanjut.- JM