Oleh: Sholina Osman
2 OGOS 2024
Jabatan Kastam Diraja Malaysis (JKDM) Perlis berjaya mematahkan cubaan seludup minyak masak paket berjumlah 116 kilogram yang dipercayai untuk dijual di negara Kemboja.
Pengarahnya, Ismail Hashim berkata, perbuatan itu berjaya dibongkar hasil pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan jenis Toyota Corolla Altis bernombor pendaftaran Thailand yang dipandu oleh seorang lelaki warga Thai berusia 52 tahun dan penumpang wanita warga Kemboja berusia 56 tahun.
Beliau berkata, mereka ditahan lebih kurang pukul 12.50 tengah hari, 24 Julai 2024 di Laluan Eksport, Unit Khas Pemeriksaan Penumpang (UKPP) Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Padang Besar.
“Hasil pemeriksaan ditemui pelbagai jenama minyak masak paket yang disembunyikan dalam beg pakaian dan tong cat yang diletakkan di tempat duduk penumpang belakang dan bonet kereta,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam Negeri Perlis di Kangar hari ini.
Ismail berkata, kesemua minyak masak yang dirampas ini tertulis “minyak masak untuk kegunaan domestik dalam negara saja” adalah seberat 116 kilogram yang bernilai RM290.
Katanya, dipercayai suspek telah beberapa kali menggunakan taktik ini untuk menyeludup minyak masak untuk dijual di Kemboja ini juga telah membeli minyak masak ini di kedai runcit sekitar Perlis.
MENGELAK CUKAI BARANG
Ismail berkata, pihaknya juga menggagalkan cubaan mengelak cukai barang seperti “green tea mix”, “thai tea mix”, “coconut sugar” dan “so fresh food”.
Beliau berkata, kesemua barangan ini seberat 1,216 kilogram yang dianggar bernilai RM18,320.00 yang melibatkan cukai sebanyak RM1,832.00.
Katanya, ia dikesan semasa melakukan pemeriksaan ke atas sebuah lori jenis Isuzu ELF bernombor pendaftaran Malaysia yang dipandu lelaki tempatan berusia 32 tahun di Bay Pemeriksaan Unit Dagangan Jalanraya (UDJR, Kompleks ICQS Padang Besar pada pukul 11.30 pagi, pada 1 Julai 2024.
Beliau berkata, modus operadi kes ini dipercayai dengan turut membawa masuk bersama barangan dagangan lain yang telah diikrar untuk mengelak dikenakan cukai.
Ismail berkata, pihaknya juga merampas pelbagai jenama minuman keras yang disyaki tidak berkastam sebanyak 37.38 liter yang bernilai RM11, 380.14 dan cukai sebanyak RM4,978.41.
DIPANDU LELAKI TEMPATAN
Katanya, ini berikutan hasil pemeriksaan rapi ke atas sebuah kenderaan jenis Toyota Camry bernombor pendaftaran Malaysia yang dipandu lelaki tempatan berusia 44 tahun pada pukul 5 petang, 16 Julai 2024 di Jeti Kargo, Kuala Perlis.
Sementara itu Ismail berkata, sebanyak empat kenderaan termasuk sebuah ienis mewah kerana melanggar Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.
Beliau berkata, antaranya melibatkan sebuah kenderaan Honda City bernombor pendaftaran Thailand yang ditahan di hadapan Dewan Cheng Aun Kong, Kampung Behor Pisang, Kangar pada pukul 11 pagi, 25 Jun 2024.
Katanya, sebuah lagi kenderaan Honda City yang didaftar di Pulau Bebas Cukai (Langkawi) ditahan di Pejabat Kastam, Cawangan Penguatkuasaan Kangar, Jalan Kampung Pondok, Kangar pada pukul 9 pagi, 28 Jun 2024.
Tambahnya, sebuah lagi kenderaan jenis Nissan Sylphy bernombor pendaftaran Thailand ditahan di Kampung Nelayan, Kuala Perlis pada pukul 1 petang pada 3 Julai 2024.
“Sebuah lagi kenderaan jenis Bentley Bentryga Speed yang didaftar di Langkawi telah ditahan di Pangkalan Marin Kastam Cawangan Penguatkuasaan/Marin Kuala Perlis, Jalan Sarawak, Kuala Perlis pada 3.30 petang pada 23 Julai 2024,” katanya.
Beliau berharap orang ramai terus memberikan kerjasama menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam terdekat di semua negeri. – JM