Oleh: Sholina Osman
2 OGOS 2024
Kementerian Perdagangan Dalam Negara dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis berjaya membongkar sebuah pasar raya di Padang Besar yang beroperasi tanpa lesen runcit barang kawalan berjadual (lesen CSA) yang sah.
Pengarahnya, Norazah Jaapar berkata, ia dikesan hasil OPS TIRIS 3.0 oleh sepasukan Penguat Kuasa KPDN Perlis yang diketuai oleh Pegawai Penguat Kuasa, Suriwan A/L Kiat pada 1 Ogos 2024.
“Hasil pemeriksaan, premis perniagaan runcit berkenaan adalah berpengkalan di Sungai Petani, Kedah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Bagaimanapun katanya, Penguat Kuasa KPDN Perlis menghadapi kekangan apabila Pengurus pasaraya tersebut adalah warganegara Nepal tidak fasih berbahasa Melayu.
Hasil pemeriksaan katanya, telah ditemui sejumlah gula pasir, minyak masak dan tepung gandum di dalam premis perniagaan runcit tersebut.
Beliau berkata, dipercayai ia bagi tujuan berurusniaga (jualan) ke atas barang kawalan berjadual berkenaan.
BARANG KAWALAN BERJADUAL
“Peniaga premis perniagaan runcit tersebut juga gagal mengemukakan suatu lesen atau kebenaran bertulis yang dikeluarkan oleh Pengawal Bekalan Malaysia untuk berurusniaga ke atas barang kawalan berjadual iaitu gula pasir, minyak masak dan tepung gandum,” katanya.
Dalam serbuan ini katanya, KPDN Perlis telah menyita sejumlah 1,537 kilogram (kg) gula pasir, 1,136 paket tepung gandum 1kg, 936 paket tepung gandum 850 gram, 141 botol bagi minyak masak botol 2kg, dan 54 botol bagi minyak masak botol 5kg yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM13,795.38.
“Satu tindakan kes telah diambil ke atas peniaga premis perniagaan runcit berkenaan dan siasatan lanjut terhadap kes ini dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122),” katanya.
Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 112) dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Juta) bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Juta).
Selain itu, siasatan juga boleh di buat di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2011 bagi mana-mana orang yang melakukan kesalahan di bawah AKB 1961.
MEMBERIKAN AMARAN KERAS
Justeru itu juga, KPDN Negeri Perlis ingin memberikan amaran keras dan menegaskan bahawa kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam penyelewengan ke atas barang kawalan berjadual.
Pejabat ini menyeru mana-mana individu dan syarikat agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan oleh kementerian.
KPDN Negeri Perlis sentiasa komited dan akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang berkaitan dari semasa ke semasa bagi mempergiat serta mempertingkatkan kawalseliaan dan operasi ke atas pengedaran barang kawalan berjadual di dalam negeri ini khususnya bagi memastikan bekalan barang kawalan berjadual untuk kegunaan rakyat negeri ini sentiasa mencukupi dan tidak berlaku ketirisan yang boleh merugikan negara.
KPDN sentiasa memperkasakan penguatkuasaan di semua peringkat, kawasan dan lokaliti dan mengambil serius dalam membanteras isu penyelewengan barang kawalan berjadual.
Orang awam disarankan untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan ini bagi memastikan aktiviti haram
tersebut dapat dibanteras sehingga ke akar umbi melalui saluran disediakan oleh pihak kementerian iaitu menerusi:
i. Whatsapp 019-848 8000;
ii. Aplikasi EZ ADU KPDN;
iii. Talian Hotline KPDN 1-800-886-800;
iv. Portal e-aduan KPDN : http://eaduan.kpdn.gov.my; dan
v. Menghubungi Pejabat KPDN Negeri Perlis di talian 04-9795000 (Setiap hari mulai jam 9.00 pagi sehingga 5.00 petang). – JM