Oleh: Sholina Osman
30 JULAI 2024
Jenayah rogol di Perlis semakin meningkat apabila mencatatkan 15 kes dari Januari hingga Jun 2024 berbanding tempoh sama tahun 2023 hanya 11 kes.
Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, kes rogol ini majoritinya melibatkan remaja di bawah umur di mana 13 kes melibatkan remaja berusia dari 13 hingga 17 tahun, satu kes 18 tahun ke atas dan satu kes pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Katanya, sebanyak 14 kes melibatkan suka sama suka dan terpedaya dengan pujukan teman lelaki dan hanya satu kes saja melibatkan kekerasan.
“Pelbagai usaha dan tindakan telah dibuat oleh polis antaranya ceramah di sekolah, hebahan melalui rondaan rondaan Skuad Aman Wanita (Amanita) dan melalui media sosial bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai jenayah rogol,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibupejabat Kontinjen Perlis (IPK) Perlis, di Dewan Serbaguna, Kangar, Perlis.
MENYAMPAIKAN SIJIL PENGHARGAAN
Beliau juga menyampaikan sijil penghargaan kepada kakitangan dan anggota polis IPK Perlis yang bertugas dengan cemerlang.
Hadir sama Timbalan Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Baderulhisham Baharudin.
Muhammad berkata, dalam usaha memerangi lumba haram dan mat rempit, sebanyak 24 remaja telah ditangkap di bawah operasi samseng jalanan/lumba haram dari Januari hingga Jun 2024.
“Daripada jumlah itu sebanyak 22 orang telah dituduh di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana berlumba haram,” katanya.
Muhammad berkata, dengan penubuhan Skuad 42, intipan, risikan dan tangkapan akan terus dijalankan.
PELUMBA HARAM “HARDCORE”
“Kejayaan terbaharu ekoran penangkapan dua pelumba haram “hardcore” dari Perlis yang sekian lama diburu,” katanya.
Beliau berkata, dengan penangkapan tersebut, Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perlis percaya aktiviti lumba haram akan menurun.
Muhammad berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik pula berjaya merampas pelbagai jenis dadah seberat 891 kilogram bernilai RM75.8 juta dari Januari hingga Jun 2024.
Beliau berkata, ia melibatkan heroin seberat 1.6 kilogram bernilai RM55,673.80, syabu seberat 628 kilogram (RM62,776,506.00) dan ganja seberat 261 kilogram (RM13,040,713.00).
Muhammad berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil pula menerima 998 laporan di mana sebanyak 219 kertas siasatan dibuka dari Januari hingga Jun 2024 berbanding hanya 214 pada tempoh sama 2023.
Beliau berkata, jumlah kerugian pula sebanyak RM2.4 juta dari Januari hingga Jun 2024. – JM