Oleh: Sholina Osman
29 JULAI 2024
Malaysia telah menerima 1,055 kapal persiaran yang membawa sejumlah 1.5 juta pelancong pada tahun 2023.
Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke Siew Fook berkata, ini menandakan peningkatan sebanyak 85 peratus dalam ketibaan kapal persiaran berbanding tahun 2019.
“Trajektori pertumbuhan ini dijangka berterusan dengan pembangunan infrastruktur tambahan di Port Klang Cruise Terminal, Swettenham Pier Cruise Terminal Pulau Pinang dan Kota Kinabalu Cruise Terminal,” katanya dalam kenyataan media.
Anthony bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing telah
mempengerusikan Mesyuarat Malaysia Cruise Council (MCC) di Putrajaya.
Majlis ini berfungsi sebagai platform kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta, yang bertujuan untuk mempercepatkan pertumbuhan industri kapal persiaran di Malaysia.
Beliau berkata, antara perkara dibincangkan dalam mesyuarat MCC termasuk hasrat Malaysia untuk menjadi tuan rumah Seatrade Cruise Asia 2026.
Beliau berkata, penganjuran acara berprestij ini menunjukkan kesediaan Malaysia untuk muncul sebagai hub utama kapal persiaran di rantau Asia Tenggara seterusnya menarik lebih banyak syarikat kapal persiaran menjadikan Malaysia sebagai “homeport”.
INDUSTRI KAPAL PERSIARAN
“Persidangan ini akan dianjurkan dengan kerjasama dan sokongan daripada pihak berkepentingan di Malaysia termasuk pemain industri kapal persiaran,” katanya.
Katanya, Kementerian Pengangkutan (MOT) juga akan membangunkan Malaysia Cruise Tourism Roadmap, berdasarkan kajian terdahulu mengenai “Formulation of a Cruise & Ferry Integrated Seaport Infrastructure Blueprint for Malaysia”.
Beliau berkata, dokumen ini akan menjadi panduan kepada agensi kerajaan dalam melaksanakan inisiatif untuk memperkasakan lagi sektor kapal persiaran Malaysia, selaras dengan matlamat Tahun Melawat Malaysia 2026.
Katanya, MOT juga telah menggariskan empat inisiatif strategik untuk memacu sektor kapal persiaran pada masa hadapan iaitu:
- Membangunkan infrastruktur kapal persiaran, termasuk mewujudkan port cruise cities dan waterfronts;
- Mempergiatkan aktiviti pemasaran kapal persiaran dengan mempromosikan tarikan tempatan;
- Mewujudkan tabung pembangunan sektor kapal persiaran Malaysia; dan
- Memperkemas urusan Customs, Immigration & Quarantine (CIQ) bagi memudahcara
pergerakan penumpang dan singgahan kapal persiaran. – JM