Oleh: Sholina Osman
30 JULAI 2024
Pensyarah Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) mengunjungi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit atau AKPK Alor Star pada 29 Julai 2024.
Pensyarah UUM, Prof Madya Dr Mohd Akram Datuk
Dahaman @ Dahlan berkata, kunjungan ini diadakan bagi mendapatkan maklumat untuk mereka menjalankan Kajian Pemantapan Al-Gharimin Pengurusan Zakat yang dikendalikan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Katanya, kajian yang akan dijalankan ini adalah antara inisiatif MAIPs untuk melihat sudut keluasan dan kemaslahatan pada agihan asnaf khususnya pada agihan asnaf al-gharimin.
“Melalui pengumpulan data perundingan dari AKPK ini pastinya membantu kami untuk menyiapkan kajian yang akan dijalankan termasuk kajian mengenai keberhutangan rakyat Malaysia,” sambungnya lagi.
MEREALISASIKAN HASRAT MAIPs
Moga kajian yang akan dijalankan ini dapat merealisasikan hasrat MAIPs khususnya dan membantu asnaf di negeri Perlis terutamanya.
Tiga pensyarah lagi yang akan menjalankan kajian ini ialah Dr. Muhammad Fathullah Al Haq Muhamad Asni dari USM, Dr Hanis Hazwani Ahmad dari Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dan Ustaz Ahmad Yusairi Yusli (KUIPs).
AKPK ialah sebuah agensi yang ditubuhkan pada bulan April 2006 untuk membantu individu menguasai situasi kewangan mereka dan mencapai ketenangan minda hasil daripada penggunaan kredit secara bijak. – JM