Oleh Noraini Nordin
(Ulasan Berita)
27 Julai 2024
Sama ada berdasarkan kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sebelum ini atau bersumberkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan semalam berhubung isu tajaan syarikat arak untuk sekolah-sekolah, kedua-duanya adalah mengikut garis panduan sedia ada.
Garis panduan itu ialah melarang sekolah menerima dana yang dijana daripada penjualan produk tembakau dan minuman beralkohol.
Garis panduan tersebut termasuk larangan memapar atau mempromosi minuman keras di dalam sekolah.
Namun Kementerian Pendidikan juga setuju memberi pertimbangan kepada sekolah vernakular untuk menerima sumbangan melalui Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) dan yayasan seperti yang telah diamalkan sebelum ini.
TIDAK MELIBATKAN PELAJAR ISLAM
“Bagaimanapun, jemaah menteri menegaskan penganjuran aktiviti melibatkan jenama minuman keras tidak boleh melibatkan pelajar Islam,” demikian kata kenyataan Kementerian Pendidikan semalam.
Dengan itu, ketegasan Fadhlina yang ditunjukkan Fadhlina dalam isu berkaitan adalah sesuatu yang munasabah dan wajar.
Ia bermakna, sebagai menteri, beliau hanya mahu memastikan kepentingan sekolah dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan sentiasa dipelihara, di samping dalam waktu yang sama, tidak menafikan hak kaum-kaum lain.
Oleh itu ‘serangan’ Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang mengingatkan Fadhlina bahawa beliau bukan “Menteri Pendidikan Pas” adalah sesuatu yang keterlaluan serta melampau.
Bukanlah niat penulis untuk membesar-besar isu ini tetapi ketegasan Fadhlina perlu dihormati dan diterima dengan lapang dada.
Mempertahankan kepentingan Islam bagi seorang menteri yang beragama Islam tidak sama sekali bermakna membawa perjuangan Pas.
Islam adalah milik semua umat Islam, ia bukan hak Pas sahaja.
Tidak kira mewakili parti mana sekali pun, selagi Islam adalah agama Persekutuan negara ini, Menteri Pendidikan berhak mempertahankan kedudukan tersebut.
Serangan Guan Eng yang mengaitkan ketegasan Fadhlina dalam mempertahankan kepentingan Islam di sekolah-sekolah dengan Pas juga adalah jelas bermotifkan politik.
DAP dalam hal ini tidak harus mengheret sentimen kebenciannya kepada Pas dalam isu tajaan syarikat arak, apa lagi membabitkan sama nama Menteri Pendidikan dalam serangannya itu.
Hakikatnya, garis panduan sudah sedia ada dan semua pihak hanya perlu mematuhinya sahaja.
Paling penting, Guan Eng harus rasional dan tidak terbawa-bawa sentimen politik dunia pendidikan.
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat