Oleh: Sholina Osman
27 JULAI 2024
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggempur tiga premis di Jalan Pasar, Pudu, Kuala Lumpur sekaligus merampas 138 unit walkie-talkie bernilai lebih RM20,000 baru-baru ini.
Operasi ini telah melibatkan sepuluh pegawai MCMC yang merupakan strategi berterusan bagi memastikan para peniaga alat komunikasi mematuhi peraturan yang ditetapkan dan tidak menjual alatan tidak diperakui kepada pengguna.
Dalam kenyataan media MCMC, hasil pemeriksaan mendapati, ketiga-tiga premis berkenaan didapati menjual kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui.
Penjualan dan penggunaan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui adalah satu kesalahan di bawah Peraturan 16 (1)(b) Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.
Jika disabitkan kesalahan, ia boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
TIDAK MELIBATKAN DIRI
MCMC mengingatkan orang ramai untuk tidak melibatkan diri dengan aktiviti menjual, memiliki dan menggunakan apa-apa kelengkapan komunikasi yang tidak mempunyai pemerakuan.
Penggunaan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui boleh menjejaskan kualiti perkhidmatan yang diterima daripada penyedia perkhidmatan komunikasi selain menyebabkan gangguan frekuensi kepada rangkaian perkhidmatan komunikasi, yang akhirnya mengundang masalah kepada pengguna lain.
Selain itu katanya, kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui boleh menyebabkan kerugian kepada pengguna jika tidak berfungsi dengan baik kerana tidak mempunyai jaminan pelanggan (waranti).
Dalam masa yang sama, peranti yang tidak diperakui juga boleh menimbulkan risiko kesihatan dan keselamatan.
Berkuat kuasa 1 Jun 2015, setiap peralatan komunikasi di Malaysia wajib dilengkapi dengan label MCMC sebagai tanda pemerakuan wajib bagi mengesahkan peralatan komunikasi telah diperakukan dan mematuhi piawaian.
Orang ramai dinasihatkan supaya menggunakan aplikasi ‘MCMC Check Your Label’ yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store atau Apple App Store, untuk menyemak status pemerakuan setiap kelengkapan komunikasi sebelum membeli. – JM