Kontena terbiar di Ladang Kenaf Chuping jadi tempat letak rokok seludup dibongkar

Oleh: Sholina Osman
26 JULAI 2024

Sebuah kontena putih terbiar di Ladang Kenaf, Chuping, Perlis telah dijadikan sebagai tempat untuk diletakkan rokok seludup.

Ternyata helah penyeludup rokok kali ini gagal apabila pihak berkuasa telah berjaya membongkarnya.

Sebanyak tujuh bungkusan plastik hitam yang mengandungi 358 karton rokok pelbagai jenama dianggar bernilai RM94,512.00 telah ditemui dalam kontena berkenaan.

Perkara ini didedahkan oleh Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asistan Komisioner, Mohd Shokri Abdullah ekoran kejayaan Pasukan Gerak Am (PGA) Batalion 18 Pengkalan Hulu Perak pada operasi Op Taring Wawasan Kedah/Perlis di sempadan Malaysia-Thailand berkaitan penyeludupan rokok pada pukul 7.15 pagi pada 25 Julai 2024.

“Hasil daripada maklumat risikan yang diperoleh, seorang pegawai dan empat anggota PGA berkenaan telah melakukan pemeriksaan ke atas kontena tersebut,” katanya dalam kenyataan media.

TUJUH BUNGKUSAN PLASTIK

Beliau berkata, di dalamnya telah ditemui tujuh bungkusan plastik hitam.

Mohd Shokri berkata, hasil pemeriksaan kesemua bungkusan plastik hitam itu telah ditemui 358 karton rokok pelbagai jenama tidak bercukai.

“Antara jenama rokok yang dirampas adalah Fu Rong Wang (215 karton), Gun Binyan (83 karton) dan Shuang Xi (60 karton) yang bernilai RM94,512.00,” katanya.

Beliai berkata, kesemua rokok yang dirampas tidak memenuhi standard keselamatan dan kesihatan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Mohd Shokri berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

CUBAAN MENYELUDUP ROKOK

“Mana-mana orang yang disabitkan dengan kesalahan cubaan menyeludup rokok, ia membawa kepada hukuman denda maksimum 10 kali ganda daripada nilai rampasan atau RM100,000.00,” katanya.

Mohd Shokri memberi amaran kepada mana-mana individu yang terlibat dalam penyeludupan rokok tidak bercukai akan diambil tindakan tegas di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.

Polis Padang Besar akan terus kekal fokus mempergiatkan usaha untuk membanteras apa-apa kegiatan penyeludupan dan memastikan keselamatan dan ketenteraman awam kekal terpelihara.

Sehubungan itu Polis Padang Besar meminta kerjasama masyarakat setempat untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah yang berlaku kepada IPD Padang Besar di talian hotline +60 4942222. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *