MCMC melatih 11,335 sukarelawan sebar mesej keselamatan Internet

Oleh: Sholina Osman
26 JULAI 2024

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui inisiatif Sukarelawan ICT Malaysia atau Malaysia ICT Volunteer (MIV) telah merekrut dan melatih 11,335 sukarelawan sejak diperkenalkan pada tahun 2016.

MCMC menyasarkan untuk merekrut 1,500 lagi sukarelawan di seluruh negara pada tahun ini.

Dalam kenyataan MCMC juga menyebut, para sukarelawan MIV terdiri daripada guru-guru sekolah rendah dan sekolah menengah, pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi, dan ahli komuniti setempat.

Selain daripada memperkasakan komuniti dengan kemahiran literasi digital, sukarelawan MIV turut menyokong pelaksanaan inisiatif keselamatan dalam talian MCMC iaitu Klik Dengan Bijak (KDB) dengan meningkatkan kesedaran serta memberi pendidikan mengenai penggunaan Internet yang positif, produktif, dan bertanggungjawab.

DIKONGSI KEPADA KOMUNITI

Antara topik KDB yang dikongsi kepada komuniti termasuklah buli siber, jenayah penipuan dalam talian, serta perlindungan kanak-kanak dalam talian.

Inisiatif ini mendidik pengguna Internet khususnya dalam kalangan pelajar untuk melindungi diri daripada menjadi mangsa.

Sesi perkongsian KDB turut melibatkan para guru dan ibu bapa supaya mereka dapat menyampaikan mesej keselamatan kepada kanak-kanak termasuk golongan kurang upaya dan mereka yang berisiko terdedah kepada ancaman dalam talian.

Pelaksanaan MIV ini memperlihatkan kerjasama MCMC dengan pelbagai agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pendidikan Malaysia (LPM)
serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Inisiatif MIV turut diperluaskan di komuniti yang mempunyai Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).

498 PROGRAM MIV

Pada tahun lalu, sebanyak 498 program MIV telah dilaksanakan di seluruh negara dengan capaian audiens lebih 2.3 juta.

Sementara itu, bagi program KDB pula, 569 program dilaksanakan tahun lalu dengan capaian audiens melebihi 540,000.

MCMC akan terus memperhebatkan program-program advokasi bagi menyampaikan mesej kesedaran kepada masyarakat mengenai penggunaan Internet yang selamat dan bertanggungjawab.

Individu yang berminat untuk menjadi sukarelawan MIV boleh mendaftar di https://miv.mcmc.gov.my/en/application/registration. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *