Oleh Noraini Nordin
(Ulasan Berita)
26 Julai 2024
Tidak dinafikan koperasi adalah aktiviti menggerakkan ekonomi yang amat penting kerana melaluinya banyak pihak boleh mendapat manfaat.
Ini kerana secara umumnya koperasi adalah organisasi sukarela yang terbuka kepada semua orang untuk mengguna perkhidmatannya dan yang sedia menerima tanggungjawab keanggotaan tanpa diskriminasi jantina, lapisan masyarakat, bangsa, politik mahupun agama.
Menyedari kepentingan itu, Kerajaan Madani mengumumkan peruntukan sebanyak RM6 juta kepada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) bagi meningkatkan kekuatan gerakan koperasi di seluruh negara.
Dana sumbangan itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa berucap pada majlis penutup Kongres Koperasi Kebangsaan 2024 di Kuala Lumpur.
Daripada jumlah itu, PMX berkata, RM2 juta diselaraskan melalui peruntukan jualan Rahmah di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk ANGKASA memperkasakan kegiatan koperasi.
“Sejumlah RM2 juta lagi diselaraskan melalui peruntukan Program Sejati Madani di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) untuk disalurkan kepada koperasi di perkampungan Madani.
“Kita ada perkampungan Madani yang ambil jawatankuasa masjid, persatuan belia dan wanita. Saya nak masukkan koperasi dalam kelompok itu dan dalam program berkenaan, peruntukan sebanyak RM2 juta disalurkan,” ujar beliau.
Seterusnya, menurut Perdana Menteri, RM1 juta pula ialah peruntukan baharu bagi program ASEAN Cooperative sepanjang Kepengerusian ASEAN 2025 yang akan diadakan pada tahun depan.
“Penyertaan koperasi (dalam agenda ASEAN) penting untuk menjana kekuatan koperasi pada peringkat antarabangsa,” katanya lagi.
Selain itu, Anwar berkata, RM500,000 lagi diperuntukkan kepada koperasi masjid di desa, manakala baki RM500,000 disalurkan kepada ANGKASA untuk menjalankan latihan peningkatan kompetensi koperasi peringkat desa.
Membantu dan menggerakkan lagi dengan penyaluran dana seperti ini bererti kerajaan ingin merakyatkan lagi sistem ekonomi agar manfaatnya dapat dinikmati banyak pihak.
Seperti kata PMX dalam ucapannya – Meski perolehan gerakan koperasi negara telah meningkat kepada RM64 bilion, namun masih ada ruang untuk diperbaiki supaya gerakan koperasi Malaysia setanding dengan Indonesia, Thailand dan Finland.
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat