Gerakan massa libatkan rakyat Sabah, Sarawak perangi barang kawalan bersubsidi dirangka – Armizan

Oleh: Sholina Osman
28 JULAI 2024

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang merangka satu gerakan massa untuk melibatkan orang ramai dalam memerangi penyelewengan barang kawalan bersubsidi di Sabah dan Sarawak terutamanya diesel dan RON95.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, selain memastikan subsidi ini dimanfaatkan oleh rakyat khususnya golongan sasar, gerakan ini dilaksanakan susulan daripada keputusan Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan penyasaran subsidi diesel secara berperingkat bermula dengan Semenanjung Malaysia.

“Keputusan pengecualian Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dalam penyasaran subsidi diesel pada masa ini dibuat mengambil kira pelbagai faktor,” katanya dalam kenyataan media.

Armizan berkata, antara faktor utama pengecualian dibuat pada masa ini kerana kebergantungan tinggi para pengguna khususnya di Sabah dan Sarawak kepada penggunaan kenderaan bahan api diesel disebabkan faktor keperluan mengambil kira faktor geografi dan taraf jalan perhubungan darat dan air.

RISIKO KESAN RANTAIAN

Katanya, ia juga berdasarkan
pertimbangan risiko kesan rantaian (chain effect) yang mengambil kira kadar harga barangan dan perkhidmatan di Sabah, Sarawak dan Labuan yang sememangnya lebih tinggi berbanding di Semenanjung Malaysia.

“Tahap kesediaan dan akses maklumat pengguna bahan api diesel di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan untuk pemprofilan (profiling) penyasaran subsidi diesel bagi pengguna individu, agri komoditi dan sektor pengangkutan awam serta barangan,” katanya.

Sehubungan itu kata Armizan
atas faktor berkenaan menyebabkan Kerajaan memutuskan untuk meneruskan kaedah sedia ada penyaluran subsidi pukal diesel di peringkat runcit bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau berkata, dianggarkan subsidi bahan api diesel bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi tahun 2024 mencecah RM3.6 bilion.

Katanya, Kerajaan tidak pernah menafikan isu ketirisan yang meliputi penyelewengan dan penyeludupan bahan api diesel juga berlaku di Sabah, Sarawak dan Labuan.

MENGARAHKAN SEMUA AGENSI

Sehubungan itu, katanya, Kerajaan telah mengarahkan semua agensi penguatkuasaan berkaitan termasuk KPDN, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) untuk memperkasa strategi dan pendekatan bagi meningkatkan keberkesanan mekanisme penguatkuasaan.

KPDN menyeru semua pihak termasuk orang ramai terus menjadi mata telinga Kerajaan dalam menyalurkan sebarang bentuk penyelewengan dan penyeludupan agar aktiviti yang merugikan negara dan rakyat ini dapat dibanteras.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap dan tepat kepada pihak Kementerian.

KPDN memberikan jaminan akan bertindak segera terhadap setiap aduan.

Antara platform aduan yang disediakan adalah seperti berikut:
i. WhatsApp 019-848 8000;
ii. Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my;
iii. Call Centre 1-800-886-800; dan
iv. Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *